Skip to main content

Minat Tak Sama? Fahami Hobi dan Minat Pasangan Anda

“Sayang, jom teman saya tengok bola?”

Gulp… Mulalah episod si isteri telan air liur bila tak tahu apa yang perlu direspon pada suami. Nak teman, tapi tak minat. Bila tak mahu teman, rasa bersalah pula pada pasangan. Perkara ini bukan saja menjadi dilema buat isteri, malah suami pun turut lalui perkara yang sama bila si isteri mengajak suami untuk sertai hobi dan minat mereka. 

Sebagai manusia, itu lumrah apabila kita mempunyai hobi dan minat yang berlainan dengan pasangan ataupun orang lain. Tapi, apabila dah berkahwin, kita bukan saja berkahwin dengan individu nya saja, kita berkahwin dengan hidupnya, hobi serta minat mereka. Oleh itu, anda sepatutnya belajar untuk fahami dan sertai minat mereka sebagai tanda sokongan dan sebagai satu cara anda tunjukkan perasaan sayang terhadap pasangan anda. 

Jom lihat apakah cara sewajarnya untuk anda praktikkan dalam memahami hobi dan minat pasangan anda.

Hormati Ruang Peribadi Pasangan Anda

Jika anda enggan untuk sertai hobi dan minat pasangan anda, jangan terus cakap “tak nak lah join”. Apa kata anda tolak dengan baik dan lembut dengan berkata “Tak apa lah. Awak enjoy lah me-time ni. Bukan senang nak dapat kan?”. Dengan menggunakan ayat sebegitu, pasangan anda merasakan bahawa anda memahami keperluan mereka yang memerlukan ruang peribadi untuk memenuhi keperluan sosial mereka. Sentiasa hormati dan bertolak ansur dalam memberikan ruang peribadi pada pasangan anda.

Jadikan Aktiviti Bersama

“Alamak, hobi dan minat tak sama pulak! Macam mana nak join ni…”

Walaupun minat anda dan pasangan anda tak sama, tapi apa kata anda cuba untuk sertai hobi dan minat mereka dengan lakukannya bersama. Hubungan rumah tangga pasti akan lebih bermakna apabila jika suami isteri berkongsi hobi yang sama. Hobi bukan lagi suatu aktiviti yang hanya mengisi masa lapang malah boleh dijadikan saat bersama yang memberi manfaat buat pasangan.

Jika pasangan anda mempunyai hobi dan minat terhadap  aktiviti luar dan lasak seperti mendaki, berkhemah, memancing dan lain-lain, anda boleh jadikannya sebagai aktiviti keluarga. Bukan sahaja pasangan anda gembira, malah anak anda juga dapat teroka perkara baru. Mana tahu, ada juga waris yang dapat ikut jejak dalam keluarga kan?

Saling Memberi Sokongan

Tak apa jika minat anda dan pasangan berlainan. Tapi, sokonglah minat dan hobi mereka dengan kata-kata yang mendokong atau lebih baik sekiranya anda hadir untuk memberikan sokongan pada mereka. Contohnya, pasangan anda mempunyai tournament bola sepak. Hadir dan berilah sokongan terhadap mereka. Walaupun anda tak sertai, tapi kehadiran anda memberi makna buat mereka.

Disiplin Diri 

Sebagaimana pasangan anda hormati anda, begitu jugalah anda perlu hormati mereka. Oleh itu, dalam meminati sesuatu benda, anda tak boleh keterlaluan sehingga menimbulkan perasaan kurang senang pada pasangan anda. Anda kena tahu untuk balance antara priority iaitu keluarga dan juga masa lapang untuk penuhi keinginan terhadap minat dan hobi anda. Bila anda pupuk disiplin tersebut dalam diri, barulah keluarga dan orang sekeliling akan support minat anda.

Capai Persetujuan Melalui Muafakat

Teringin nak lepak dengan kawan-kawan macam masa zaman sebelum kahwin dulu. Tak ada masalah! Yang penting, bincang dengan pasangan bahawa anda mahukan masa bersama kawan-kawan. Bincangkan, anak-anak siapa yang akan menjemput, beritahu bahawa makanan telah tersedia atau perlu dibeli. Bila anda mudahkan urusan keluarga, keluarga anda terutama pasangan pun dengan senang hati memberikan anda masa untuk berhobi.

Tak kenal, maka tak cinta. Mana tahu, lepas ni anda dan suami sama-sama mempunyai hobi dan minat yang sama. Jadi, fahami dan raikanlah perbezaan untuk mencapai kebahagiaan dalam perkahwinan!

Ditulis Oleh:
Siti Khairun Nisa’