Skip to main content

“Sayur? Eww!”-  Ibu Ayah Patut Cuba Tips Ini!

“Tak nak sayur ni!”

“Tak nak sayur dengan nasi”

“Nak kosong je, no sayur!”

Rungsing kan setiap kali anak-anak anda keluarkan ayat ini ketika makan? Bagi anak-anak, mungkin sayur-sayuran adalah makanan yang paling mereka tak gemar. Tak perlu jauh-jauh, tanya saja pada diri sendiri, “Masa aku kecik dulu, kenapa aku tak suka makan sayur eh?”

Sebagai ibu bapa, pastinya kita mahu pemakanan anak-anak terjaga dan penuh dengan khasiat khususnya daripada protein, buah-buahan dan sayur-sayuran. Sayur-sayuran merupakan makanan yang mengandung pelbagai vitamin yang mampu memberikan nutrisi pada tubuh. Anak-anak pada umumnya lebih menyukai makanan yang manis, masin dan berperisa. Sebagai ibu bapa, tugasan melatih anak-anak untuk makan sayur sepatutnya dilakukan sejak mereka bayi demi memenuhi nutrisi dalam badan untuk perkembangan minda dan fizikal mereka.

Tapi, tak mengapa. Mungkin musim cuti sekolah ni lah waktu terbaik untuk anda melatih mereka untuk sukakan sayur. Jom lihat cara-caranya!

  • Biasakan untuk makan sayur bersama-sama anak

Untuk melatih anak-anak makan sayur, sebagai ibu bapa anda juga perlulah sukakan sayur-sayuran. Ketika waktu makan, anda boleh makan bersama mereka dan katakan “Tengok ni. Ibu makan sayur. Sedap! Adik pun kena lah makan”. Dengan menunjukkan anda pun sukakan sayur, mereka pasti terikut-ikut mahu merasa sayur tersebut. Anda boleh saja kaitkan superhero-superhero yang hebat untuk menaikkan semangat mereka untuk jadi kuat bersemangat seperti superhero kegemaran mereka.

  • Jangan hukum anak yang tidak mahu makan sayur

Meskipun berulang kali anda cuba memaksa untuk melatih anak anda untuk makan sayur, jangan sesekali menghukum mereka. Ini kerana perkara ini boleh menjadi trauma, bahkan boleh menghilangkan selera mereka sepenuhnya terhadap sayur-sayuran. Pujuk mereka untuk makan dengan perlahan-lahan. Walaupun secebis yang masuk ke dalam mulut mereka, berikan pujian serta galakan untuk mereka habiskan sayur tersebut. Jadikannya sebagai kebiasaan dan bukan paksaan atau adakan sebarang hukuman.Kita yang dewasa pun, jika dipaksa dan dihukum, mesti tak suka juga kan?

  • Olah sayur-sayuran dengan kreatif

Tarik perhatian si kecil anda dengan mengolah sayur-sayuran mengikut kreativiti dan minat anak anda. Anda boleh saja mengolah sayur tersebut seperti kartun kegemaran anak-anak anda. Pastikan juga anda gunakan sayur-sayuran yang berbeza setiap hariti supaya mereka tidak merasa bosan dengan satu jenis sayur sahaja. Sediakan juga makanan sampingan lain supaya selera mereka tidak mati apabila melihat sayur yang perlu mereka nikmati.

  • Gantikan menu sayur dengan buah-buahan

Jika anak anda masih lagi berdegil tidak mahukan sayur-sayuran, masih banyak lagi sumber nutrisi lain yang boleh anda cuba seperti buah-buahan. Buah-buahan adalah makanan dari tumbuh-tumbuhan yang memiliki nutrisi penting seperti sayuran. Bagi anak yang sama sekali tidak suka dengan sayur, anda boleh memberikannya buah-buahan. Terdapat banyak buah-buahan yang kaya dengan pelbagai vitamin seperti buah Oren, Pisang, Strawberi dan sebagainya. Cuba berikan mereka buah-buah yang mempunyai warna yang terang supaya dapat menarik minat mereka untuk menikmatinya.

  • Lembutkan sayur

Kanak-kanak ni kalau dah tak mahu, sejuta alasan mereka beri. Keras lah, pahit lah. Apa kata anda cuba dengan melembutkan sayuran tersebut dan letakkan di dalam makanan mereka, Anda juga boleh cuba pelbagaikan kaedah masakan sayur seperti membuat cucur sayuran bercampur pelbagai inti seperti ayam, sosej dan sebagainya. Bila sayur tersebut disaluti perisa lain, tak adalah mereka perasan dan luah kembali sayur ketika kunyah.

Jadi, jangan putus asa untuk tambat selera anak-anak anda. Mana tahu, bila dah kembali ke sekolah, mereka pula yang request nak ada sayur sebagai snek mereka. Selamat mencuba dan semoga berjaya mummies and daddies!

Ditulis Oleh:
Siti Khairun Nisa’