Skip to main content

Idea-Idea Meluangkan Masa dengan Keluarga Tanpa Sebarang Kos!

Cuti sekolah adalah peluang terbaik untuk sesebuah keluarga mengeratkan hubungan silaturahim dan menghabiskan masa berkualiti bersama. Ramai berpendapat bahawa cuti sekolah merupakan waktu terbaik untuk berjalan bersama keluarga. Anak-anak juga mungkin akan tertanya-tanya ‘Apa plan kita cuti sekolah ni? Kita tak pergi mana-mana ke?’. Kami faham bahawa masa cuti sekolah lah kos perbelanjaan seisi rumah mungkin akan meningkat jika ia melibatkan ‘travelling’. 

Kalau anda tak tahu bagaimana nak curi masa untuk luangkan bersama keluarga tanpa mengeluarkan kos atau hanya dengan kos minima, jom lihat tips yang anda boleh praktikkan bersama keluarga!

  • Makan Bersama

Salah satu cara terbaik dan sering kita terlepas pandang untuk menghabiskan masa berkualiti bersama anak-anak ialah makan malam bersama. Ia sepatutnya menjadi ritual harian untuk keluarga anda. Sudah tentu, makan bukanlah satu-satunya aktiviti yang boleh anda lakukan bersama semasa waktu makan. 

Anda boleh berinteraksi dengan anak-anak dengan bertanya tentang aktiviti yang dilakukannya di rumah atau tentang apa sahaja hobi yang menjadi kesukaan anak anda.  Sesekali, anda boleh juga selitkan perbualan bersama pasangan anda dengan bertanya bagaimana hari mereka hari ini. Tidaklah anda hanya fokus pada satu pihak sahaja. Selitkan juga perbualan yang melibatkan pasangan dan juga anak seperti berbincang apa rancangan di televisyen yang mereka boleh tonton bersama atau bertanya pelan hujung minggu yang mendatang. Dengan adanya perbualan seperti ini ketika makan, tidak lah waktu makan sunyi sahaja. Pasangan dan anak-anak juga berasa dekat dan teruja mahu berkongsi cerita bersama-sama. 

  • Berkelah

Anda mungkin tidak mempunyai masa untuk percutian keluarga yang panjang tetapi dengan berkelah pada hujung minggu boleh menjadi pilihan yang tepat! Berkelah pada waktu petang di taman awam boleh menjadi sesuatu yang baharu dan memberikan keunikan dalam mengeratkan hubungan keluarga anda. Sambil melihat pemandangan yang penuh kehijauan, anda boleh nikmati makanan ringan untuk berkelah seperti sandwich, minuman kotak dan sebagainya. Sambil itu, anda boleh bermain pelbagai permainan seperti permainan  papan, Frisbee atau bersenam bersama.

Semasa anak-anak anda bermain, anda boleh berbual bersama pasangan anda dan berbincang tentang apa sahaja bersama. Dengan berkelah, anda dapat melihat anak-anak anda melakukan aktiviti berfaedah bersama anda di samping mengeratkan hubungan kasih sayang antara suami isteri melalui makanan yang isteri anda sediakan. Ucapkan “terima kasih”  pada mereka kerana sudi bersama-sama menjadikan petang itu bermakna dengan sediakan makanan dan sertai perkelahan tersebut. Pasti para isteri senyum sampai ke telinga!

  • Berkebun

“Apa yang penting, kerjasama!” Anda mesti pernah dengar bait lirik lagu ni, kan? Begitu jugalah pentingnya kerjasama dalam keluarga. Anda tahu tak bahawa dengan berkebun, hubungan keluarga anda boleh bertambah erat? Anda boleh mengajak anak dan pasangan anda untuk sama-sama menanam dan menyiram pokok. Anak anda juga dapat ilmu baharu dengan mengenali pelbagai jenis tanaman. Hubungan suami isteri  juga boleh bertambah erat dari sudut emosi di mana keterujaan dan keseronokan terpancar apabila pasangan kita sama-sama membantu ketika menanam pokok. Jika hasil tanaman anda berhasil, anda, pasangan dan juga anak pasti gembira!

  • Lakukan Kerja Rumah Bersama

Jika anda terlalu sibuk dan tak cukup tangan untuk untuk melakukan kerja rumah sendiri, apa kata anda wujudkan rutin kemas rumah bersama pasangan dan anak anda? Melalui aktiviti mengemas ini, bukan sahaja kerja rumah anda berjaya diselesaikan, malah ‘bonding’ sesama keluarga anda pun bertambah erat. Aktiviti mengemas rumah ini juga, dapat mewujudkan kerjasama antara keluarga. Anak-anak anda dapat belajar tentang kerja-kerja rumah di usia muda. Tidak lah bila dah besar nanti, mereka kekok untuk melakukannya. Kerja rumah yang ringan seperti menyapu dan membuang sampah boleh dilakukan oleh anak-anak. Anda dan pasangan anda boleh lakukan kerja rumah lain seperti mengemas dapur, membasuh baju dan sebagainya. Bila semua ahli keluarga memainkan peranan, barulah keluarga kita bertambah harmoni!

Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat untuk mengeratkan lagi ikatan antara anda, pasangan dan juga anak-anak anda! 🙂

Ditulis Oleh:
Siti Khairun Nisa’