Skip to main content

Yum Yum! Sedapnyaaaa!
Ini 10 Resepi Sahur Untuk Ibu Hamil dan Ibu Yang Menyusukan Anak

Memang normal bagi seseorang untuk berasa letih sekiranya tidak makan selama 8 jam. Apatah lagi kalau seseorang itu tidak makan dan minum lebih daripada 10 jam. Dalam konteks puasa, ianya memerlukan seseorang itu untuk tidak makan dan minum selama lebih daripada 12 jam. Penat itu perkataan yang biasa didengari apabila sedang berpuasa tetapi bayangkan ibu yang sedang mengandung atau menyusu di bulan Ramadhan? Fuhhhh…

Sudah mengandung atau menyusu, berpuasa pula tu. Betulla bila orang cakap ibu seorang insan yang kuat dan kental. 

Sepanjang bulan Ramadhan, ibu hamil atau menyusu memerlukan diet yang seimbang supaya ibu dan kandungan sentiasa dalam keadaan yang sihat. Bukan setakat perlu menjaga diet, kadangkala banyak perkara yang ibu perlu buat ketika berpuasa seperti memasak, bekerja dan membuat kerja-kerja rumah yang ringan.

Jadi, ibu hamil atau menyusu perlu mendapat tenaga yang secukupnya sewaktu bulan Ramadhan. Kami nak kongsikan resepi Sahur yang ibu-ibu semua boleh cuba.

Jus Susu Kurma

Bahan-Bahan:

– 6-8 biji buah kurma untuk 1 hidangan
– Air masak atau air mineral 350 ml
– Susu UHT atau susu kambing. Tidak digalakkan untuk menggunakan susu serbuk atau susu pekat manis

Cara Penyediaan:

  1. Buang biji-biji kurma dan rendamkan sepenuhnya kesemua kurma di dalam air suam/mineral untuk semalaman. Sekiranya ingin dalam kondisi yang sejuk, anda boleh letak di dalam peti ais. 
  2. Ketika sahur ataupun Iftar, tuang kurma yang sudah direndam beserta air rendamannya ke dalam gelas atau cawan yang lain. 
  3. Tambahkan susu UHT secukupnya mengikut kadar kepekatan yang dimahukan. 
  4. Bancuh dan kacau selama 20 saat.
  5. Sedia untuk minum.

Minuman jus susu kurma kaya dengan pelbagai nutrisi dan antioksidan yang boleh menambah zat besi dalam badan, mengekalkan tenaga dan memudahkan proses pencernaan. Jus susu kurma ini baik untuk ibu mengandung dan ibu yang menyusukan anak.

Minuman Energy Booster

Bahan-Bahan: 

– Kurma
– Badam (almond)
– Kismis
– Oat
– Susu segar/Coklat panas

Cara Penyediaan:

  1. Campurkan kesemua bahan tersebut di dalam blender.
  2. Tambahkan sedikit air dan blender sehingga halus.
  3. Simpan dalam bekas tertutup dan simpan dalam peti sejuk selama beberapa jam. 
  4. Bila nak minum, campurkan sahaja dengan susu segar atau coklat panas sebanyak 250 – 300 ml.

Sekiranya ibu tiada masa untuk menyiapkan Sahur, boleh cuba minuman ini. Bukan sahaja sedap tetapi lihat sahaja daripada bahan-bahannya, kita sudah tahu minuman energy booster ini akan membekalkan tenaga yang secukupnya bagi ibu mengandung dan ibu yang menyusukan anak. Minuman ini juga akan berikan kesihatan buat anak.

Salad Sayur Campur

Bahan-Bahan:

– 4-6 biji tomato ceri
– 1 biji cili benggala hijau (green bell pepper)
– Salad Butterhead
– Salad Red Coral
– 2-3 kelopak kobis unggu
– 1 biji bawang holland
– 1 batang timun Jepun
– 2 sudu sederhana keju parmesan

Bahan Dressing:

– 1 sudu makan minyak zaitun
– 1 ulas bawang putih
– Sedikit serbuk lada hitam
– 1 sudu sederhana jus lemon
– 1 sudu makan gula pasir
– Garam

Cara Penyediaan:

  1. Belah dua setiap tomato ceri tersebut dan hiriskan kesemua bahan-bahan yang lain
  2. Semua bahan tersebut (kecuali keju parmesan) dimasukkan ke dalam mangkuk besar dan gaul dengan rata. 
  3. Sediakan satu mangkuk lain dan campurkan kesemua bahan dressing di dalamnya.
  4. Gaul bahan dressing itu dengan rata.
  5. Campurkan bahan dressing itu ke mangkuk berisi bahan salad dan sayuran. 
  6. Gaul sehingga rata.
  7. Taburkan keju parmesan di atas salad.
  8. Makanan sedia untuk dihidangkan.

*Pastikan semua bahan dan sayur dibasuh dengan bersih terlebih dahulu.

Sayur-sayuran mengandungi vitamin, mineral dan serat yang penting untuk kesihatan ibu mengandung dan juga menyokong pertumbuhan bayi dalam rahim. Kandungan nutrisinya juga bagus untuk ibu yang menyusukan anak. Salad juga dapat menurunkan kolestrol dan mencegah kanser. 

Roti Wholemeal Telur Goyang

Bahan-Bahan:

– 2-4 keping roti wholemeal
– 2-4 biji telur
– Kaya
– Mentega
– Garam
– Minyak masak

Cara Penyediaan:

  1. Bakar roti wholemeal hingga keperangan selama 3-5 minit.
  2. Panaskan sedikit minyak masak di dalam kuali. 
  3. Goreng telur mata kerbau mengikut citarasa. (Kami cadangkan kuning telur cair sedikit).
  4. Sapu mentega dan kaya secukupnya di atas roti wholemeal.
  5. Letakkan telur di atas roti bakar.
  6. Taburkan sedikit garam.
  7. Makanan sedia untuk dihidangkan. 

Roti wholemeal mengandungi lebih banyak nutrien berbanding dengan roti putih. Dengan memakan roti jenis ini, ibu mengandung dan ibu yang menyusukan anak akan mendapat lebih tenaga tanpa menambahkan berat badan disebabkan oleh serat dan vitamin yang terdapat di dalam roti tersebut. Telur juga mempunyai vitamin dan mineral yang bagus untuk tumbesaran bayi.

Sandwich Ayam dan Salad

Bahan-Bahan:

– 400 gm ayam (bahagian dada)
– Roti baguette/roti wholemeal
– 6-7 Daun salad
– Mentega
– Garam 

Cara Penyediaan:

  1. Ayam ditabur dengan sedikit garam sebelum dipanggang hingga masak dan cincang halus. 
  2. Letakkan ayam di dalam mangkuk.
  3. Sapu sedikit mentega ke atas roti pilihan. 
  4. Letakkan 1-3 keping daun salad ke atas roti.
  5. Letakkan dua sudu campuran ayam dan ratakan di atas roti.
  6. Ambil sekeping roti dan sapu sedikit mentega.
  7. Sekeping roti tersebut ditutup ke atas roti yang diletakkan daun salad dan ayam. 
  8. Sandwich ayam dan salad sedia untuk dihidangkan. 

Tanpa kita sedari, sandwich membantu membekalkan oksigen kepada tubuh badan kita. Ia juga dapat menstabilkan kandungan kadar gula darah di dalam badan. Seseorang itu juga akan dapat protein, fiber, zat besi, serat dan kalium dengan memakan sandwich sewaktu Sahur. Jadi, sandwich ayam dan salad ini mempunyai banyak kebaikan buat ibu mengandung dan ibu yang menyusukan anak.

Scrambled Egg Mushrooms

Bahan-Bahan: 

– 2-4 biji telur
– Setengah cawan susu segar
– ¼ cawan parutan keju parmesan dan/atau mozzarella
– 7-10 biji cendawan butang (hiris dengan nipis)
– 1-2 biji tomato yang dicincang
– 2 sudu makan cili benggala (green bell pepper) yang dicincang
– Garam
– Minyak masak 

Cara Penyediaan:

  1. Pecahkan telur dan pukul telur bersama susu di dalam sebuah mangkuk. 
  2. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. 
  3. Tuang bancuhan telur dan masak untuk beberapa minit.
  4. Masukkan cincangan tomato, cendawan cili benggala dan parutan keju ke dalam kuali dan gaul hingga sebati.
  5. Setelah itu, hidangkan scrambled egg mushrooms di dalam pinggan dan taburkan sedikit garam.
  6. Makanan sedia untuk dihidang.
  7. Jika mahu, boleh hidangkan kepingan roti, salad dan sos seperti cili dan ranch. 

Telur mengandungi vitamin yang dipanggil choline yang jarang ditemui dalam bahan makanan lain. Vitamin ini boleh memperbaiki fungsi otak dan memori. Telur juga kaya dengan protein dan memilih menu ini untuk dimakan sewaktu Sahur akan menyebabkan ibu rasa kenyang dalam jangka masa yang lama. Cendawan juga mempunyai vitamin B, D, protein dan zat besi yang boleh membantu ibu mempunyai sistem penghadaman yang lebih sihat dan pembentukan saraf yang elok.

Egg Prata Roll

Bahan-Bahan:

– 2-3 keping roti prata segera (defrost)
– 2-3 biji telur
– 1-2 sudu makan cincangan daun bawang
– 1 labu bawang besar yang dicincang halus
– Garam
– Minyak masak atau zaitun

Cara Penyediaan:

  1. Pecahkan telur dan pukul telur bersama susu di dalam sebuah mangkuk dan taburkan sedikit garam.
  2. Masukkan cincangan daun bawang dan bawang besar da gaul sehingga rata.
  3. Panaskan sedikit minyak zaitun/masak di dalam kuali. 
  4. Panaskan roti-roti prata di kedua-kedua bahagian hingga hampir perang. 
  5. Setelah selesai dengan roti prata, tambah sedikit lagi minyak masak/zaitun dan tuang bancuhan telur ke dalam kuali yang sama. Pastikan telur tersebut masak di kedua-dua bahagian juga. 
  6. Setelah itu, letak telur ke dalam prata dan gulung kemas. Potong mengikut bentuk yang dimahukan.
  7. Makanan sedia untuk dihidang.

Kandungan vitamin D yang ada dalam telur penting kerana ianya dapat membantu tubuh menyerap kalsium yang boleh memastikan tulang dan gigi kita kuat termasuklah bayi di dalam kandungan dan anak yang disusukan ibunya. Kami juga mencadangkan ibu menggunakan minyak zaitun yang boleh melindungi ibu dan bayi daripada jangkitan dan penyakit oleh kerana vitamin A.

Lempeng Sayuran dan Udang

Bahan-Bahan:

– ¾ cawan air
– 1 cawan tepung gandum
– 1 biji cili merah yang dicincang halus
– 4 biji tomato ceri
– 1 labu bawang besar yang dicincang halus
– 4-5 ekor udang sederhana yang dicincang kasar
– 1 sudu makan cincangan daun bawang
– 2 sudu makan parutan lobak merah
– Setengah sudu teh garam
– ¼ sudu teh lada hitam
– ¼ sudu teh serbuk penaik

Cara Penyediaan:

  1. Satukan kesemua bahan dan gaul sebati di dalam sebuah mangkuk.
  2. Jika ianya terlalu pekat, boleh tambah sedikit air atau jika terlalu cair, boleh tambah sedikit tepung. 
  3. Tuang sedikit minyak ke dalam kuali leper. 
  4. Sendukkan sedikit bancuhan tadi ke dalam kuali tersebut.
  5. Kemudian, letak dan masakkan lempeng hingga keperang-perangan pada kedua-dua bahagian. 
  6. Makanan sedia untuk dihidang bersama sos pilihan.

Udang memiliki kadar protein yang tinggi yang dapat membantu perkembangan bayi. Udang juga mempunyai sumber lemak omega 3 yang tinggi yang boleh membantu perkembangan sistem saraf dan mata bayi.

Bubur Nasi Ayam

Bahan-Bahan:

– 1 -2 cawan beras
– Air secukupnya
– 1 dada ayam yang didadu kecil
– 1 lobak merah yang didadu kecil
– 3-4 cendawan butang yang dihiris dengan nipis
– 3 cm halia muda yang dimayang halus
– Daun bawang yang dicincang sepenuhnya
– Garam yang secukupnya

Cara Penyediaan:

  1. Rebus beras dengan air yang secukupnya sehingga beras hancur.
  2. Lobak merah dan dada ayam yang telah dihiris seperti dadu kecil dimasukkan ke dalam bubur ayam.
  3. Hirisan halia dan cendawan butang yang telah dihiris juga dimasukkan. Gaul dengan sebati. 
  4. Didih bubur ayam untuk 5 minit sehingga semua bahan masak sepenuhnya. Tambah garam dengan secukupnya.
  5. Tutup api, angkat dan tabur cincangan daun bawang.
  6. Makanan sedia untuk dihidang.

Gandum beras mengandungi banyak vitamin yang penting, maka ianya sangat dialu-alukan dalam diet wanita hamil. Bubur beras mengandungi vitamin B4 yang sangat berguna untuk bayi. Ayam yang dicampur juga akan membekalkan tenaga kepada ibu hamil dan ibu yang menyusukan anak.

Nasi Goreng Mentega Telur

Bahan-Bahan:

– 1 mangkuk nasi sejuk
– 2 sudu makan mentega
– 3 biji telur
– 8 ekor udang segar yang dicuci dan dibersihkan
– 2-3 bawang putih yang dicincang halus
– Daun bawang yang dicincang sepenuhnya
– Garam yang secukupnya 

Cara Penyediaan:

  1. Cairkan 1 sudu mentega di dalam kuali.
  2. Setelah itu, masukkan telur dan goreng hancur sehingga masak. Angkat dan ketepikan. 
  3. Cairkan 1 lagi sudu mentega dengan kuali yang sama.
  4. Masukkan cincangan bawang putih dan tumis.
  5. Masukkan udang dan goreng hingga separuh masak.
  6. Masukkan nasi sejuk dan gaul kesemuanya dengan rata.
  7. Tambahkan garam untuk cukup rasa.
  8. Masukkan kembali telur goreng hancur dan panaskan untuk 1 lagi minit. Gaul dengan sebati.
  9. Tabur cincangan daun bawang. 
  10. Makanan sedia untuk dihidang.

Menikmati mentega membolehkan mengurangkan kesan masalah hormon dan mempertingkatkan pembangunan otak kanak-kanak. Mentega juga mengandungi vitamin D yang penting untuk pertumbuhan tulang.

Apa yang penting ialah ibu semua dapat menjamu makanan dan minuman yang lazat sambil mengekalkan kesihatan tubuh badan diri sendiri dan juga bayi. 

Ditulis oleh:
Ian Firdaus

Rujukan:
Majalah Rasa