Skip to main content

‘Checklist’ Beg Ibu dan Bayi Sebelum ke Hospital

Para ibu mengandung pasti teruja setiap kali membeli-belah barangan bayi bersama suami? Pantang lihat baju dan keperluan bayi, mesti rasa nak beli semua sebab comel kan? Itulah me-time yang para ibu dan bapa perlu nikmati sepuas-puasnya sebelum kelahiran bayi anda. Namun, dalam keseronokan membeli barangan bayi, ibu bapa ada satu lagi tugas penting sebelum menyambut kelahiran si comel anda iaitu menyediakan beg hospital untuk ibu dan bayi. 

Buat para ibu yang pertama kali melalui pengalaman hamil dan akan bersalin, beg hospital adalah beg barangan keperluan yang dibawa bersama ke hospital apabila anda sudah sampai masanya untuk melahirkan cahaya mata anda. Beg tersebut perlu mengandungi barang-barang keperluan sebelum dan selepas bersalin, serta barangan lain yang boleh memberi keselesaan kepada anda selama berada di hospital.

Bila anda perlu sediakan beg hospital?

Anda sepatutnya mula merancang barang-barang yang perlu dimuatkan dalam beg hospital sebaik sahaja memasuki trimester ke-3. Walaupun tempoh keseluruhan kehamilan adalah selama 40 minggu, namun anda dianggap sudah sampai tempoh apabila mencapai 37 minggu, oleh itu beg hospital perlu dipastikan telah tersedia! Ia penting untuk anda menyiapkan barang yang perlu dibawa ke hospital supaya tidak mengalami ‘panic attack’ nanti. Oleh itu, lebih baik untuk anda atau suami untuk menyediakan kelengkapan dan meletakkannya di bahagian rumah yang senang diambil dan mudah dilihat atau letakkan di dalam kenderaan anda sebelum ke hospital.

‘Checklist’ barang keperluan ibu dalam beg hospital

Terdapat barang-barang tertentu yang diperlukan oleh semua wanita dalam beg hospital mereka. Walau bagaimanapun, anda boleh saja mengubah atau menambah ‘checklist ’ini mengikut apa yang anda perlukan sepanjang tempoh berada di hospital nanti.

  • Sebarang dokumen hospital berkaitan kehamilan anda (seperti buku rekod kehamilan/buku pink)
  • Kad pengenalan, kad nikah atau sijil nikah
  • Kelengkapan peribadi sepanjang berada di hospital: ubat gigi, berus gigi, gel mandian, syampu
  • Soothing items yang anda perlukan apabila kontraksi berlaku
  • Snek, jus, gula-gula yang dibenarkan semasa sakit hendak bersalin
  • Tuala wanita untuk pendarahan selepas bersalin
  • Coli menyusu untuk menyusu badan
  • Pelapik payudara (jenis pakai buang untuk kemudahan)
  • Bantal untuk keselesaan
  • Pakaian dalam dan baju tidur untuk bermalam di hospital
  • Telefon bimbit dan peralatan elektronik lain jika serta pengecasnya
  • Pakaian extra dan pakaian untuk pulang ke rumah

‘Checklist’ barang keperluan bayi dalam beg hospital

  • Pakaian bayi: Baju dan seluar, kain bedung, barut, stokin kaki dan tangan, topi
  • Minyak panas & krim ruam
  • Lampin pakai buang 
  • Tisu basah (wet wipes)
  • Tuala mandi
  • Baju extra dan baju untuk pulang ke rumah

Semoga ‘checklist’ ini dapat membantu memudahkan perjalanan menyambut kedatangan si kecil  anda dan pasangan. Selamat bersalin dan berpantang!