Skip to main content

20 Minit je, Siap! 5 Tips Masak Ekspres untuk Ibu Bekerjaya

Balik kerja dah pukul 6 petang, sampai rumah dah hampir jam 8 malam. Alamak, dah lambat nak defrost ayam, nak masak lagi. 

Bila badan dah letih, nak masak pun lambat dan tak larat, sudahnya order saja.  Situasi begini memang sering berlaku pada para ibu-ibu yang bekerjaya. 

Jangan risau, mama! Anda cuma perlu rajin sedikit untuk capai kesenangan memasak dengan ekspres untuk keluarga anda. Cuma 20 minit je, anda boleh siapkan hidangan lengkap untuk dinikmati bersama. 

Jom ikuti tips masak ekspres di bawah!

  1. Asingkan Protein

Bila balik je dari kerja, automatik rasa malas nak masak bila teringat bahan protein belum defrost lagi. Tambah-tambah ayam  dan daging memakan masa yang lama untuk defrost. Haa, dalam kes ini, balik je dari kerja, benda pertama yang anda perlu buat adalah keluarkan bahan protein yang mahu dimasak dan defrost dahulu. 

Jika anda terlewat sampai ke rumah, minta suami anda untuk keluarkan dahulu bekas yang mana yang hendak di nyah bekukan. Seperkara lagi, bagi memudahkan proses memasak, asingkan bahan protein seperti ayam, udang, sotong  yang telah disiang dan dibasuh ke dalam bekas mengikut portion mengikut kuantiti masakan sekali masak. Dengan cara ini, bahan protein yang telah di defrost, sebaiknya terus dimasak. Jangan selalu keluar masuk peti sejuk sebab ia tak elok dan boleh mengundang toksik pada makanan.

  1. Sediakan Bawang yang Siap Dikopek 

Antara benda paling leceh dan melambatkan proses memasak pastinya mengopek bawang. Untuk menjimatkan masa memasak, pada hujung minggu atau waktu lengang, anda boleh mengopek segala jenis bawang seperti bawang merah, bawang besar dan bawang putih.

Untuk bawang merah dan bawang besar, ia bersifat sebagai penyerap bakteria, jadi sebaik sahaja lepas mengopek kulitnya, simpan terus ke dalam bekas bertutup dan masukkan ke dalam peti ais. Bila tiba waktu memasak, ambil saja dari dalam bekas berapa kuantiti yang dikehendaki dan bolehlah mula memasak. Cepat kan? Tak perlu lagi buang masa di dapur. 

  1. Basuh dan Simpan Sayur-sayuran ke dalam Bekas

“Alamak, sayur dah lembik dan layu pulak!” Mesti anda pernah lalui saat macam ni kan? Semangat dah nak memasak, sekali sayur yang nak digunakan layu pula. Betul, sayur memang sifatnya cepat layu dan rosak. Tapi jangan risau, ada caranya untuk anda pastikan sayur anda tahan lama dan boleh dimakan pada waktu anda perlukannya! 

Apa yang anda boleh lakukan, sebaik sahaja lepas beli sayur, basuh dan rendam dengan air garam dalam lebih kurang 5 minit. Kemudian, toskan dan masukkan ke dalam bekas. Dengan adanya proses ini, ia dapat membantu melanjutkan tempoh kesegaran sayur. Bila-bila nak masak, sayur pun dah ready dalam bekas. Tinggal nak ambil dan masak saja!

  1. Tumis Cili

Selain membawang, menyambal pun antara proses memasak yang melecehkan. Mana tidaknya, kalau menumis habislah dinding dapur merecik, nak kena lap sana sini, dan ianya ambil masa yang agak lama juga. Kalau betul-betul masak, barulah boleh hasilkan masakan yang sedap.

Oleh itu, untuk menjimatkan waktu memasak, siapkan cili kisar yang dah siap tumis mengikut kuantiti seminggu terus (atau yang sesuai dengan kekerapan memasak kita). Bila dah tumis dan dah naik minyak, masukkan ke dalam bekas dan simpan ke dalam peti ais.

Kalau anda simpan di peti ais bawah, tempoh paling lama boleh simpan hanya seminggu sahaja. Jika ada lebih banyak, , simpan sebahagian di dalam freezer dan boleh tahan sehingga 3 bulan. Jimat banyak kan waktu memasak bila semua bahan yang perlu dimasak lama, dah pun tersedia. Sangat mudah dan cepat!

  1. Buat Senarai Menu Masakan

Bila semua bahan dah tersedia, balik rumah dan buka peti ais dengan penuh bersemangat,tiba-tiba otak jadi blank tak tahu nak masak apa. Siapa pernah lalui situasi macam ni? Haa, nak fikir nak masak apa pun makan masa juga tau. 

Jadi, anda boleh sediakan menu masakan untuk seminggu dalam bentuk jadual atau dalam bentuk list. Anda boleh tulis dan tampal pada peti ais atau boleh tulis di dalam telefon bimbit. Jadi, sebelum tiba waktu memasak, anda boleh scroll balik atau lihat jadual menu anda dan buat persediaan untuk memasak. 

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda semua. Lepas ni, mummies yang busy bekerja tu dah boleh lah memasak dengan cepat! Sup-sap, sup-sap, siap!  😀

Ditulis Oleh:
Siti Khairun Nisa’