Skip to main content

5 Tips Melatih Bayi Anda Menyusu Melalui Botol

Gelaran ‘ibu’ merupakan antara hadiah terhebat buat seorang wanita. Para ibu pasti masih terkenang-kenangkan saat pertama kali memegang dan menyusukan bayi mereka. Namun, bagi ibu yang bekerja, meninggalkan anak selepas tempoh berpantang untuk kembali ke pejabat merupakan momen yang paling sukar buat mereka. Lebih-lebih lagi jika bayi mereka enggan minum susu badan yang dipam melalui botol susu. Ini membuatkan para ibu runsing, malah ada yang mula panik dan risau memikirkan pelbagai cara untuk membuatkan bayi mereka menyusu melalui botol. 

Lebih parah lagi, ada juga ibu yang terkesan sehingga stress dan sedih akibat terlalu penat apabila susu yang dipam terpaksa dibuang kerana rosak. Anak kecil seperti bayi tidak mampu memberitahu orang dewasa puncanya, namun perkara ini berkemungkinan disebabkan oleh beberapa faktor, seperti: 

  1. Tidak terlalu lapar
  2. Tidak sihat
  3. Tidak berada dalam posisi yang selesa
  4. Bayi tidak gemar dengan suhu, rasa dan tekstur susu
  5. Bayi tidak gemar dengan tekstur botol yang digunakan

Masalah ini dapat diatasi dengan mencuba pelbagai cara dan berikhtiar. Berikut merupakan beberapa tips yang boleh anda ikuti:

1. Berikan botol ketika bayi tidak terlalu lapar

Susukan bayi anda sebelum mereka dalam keadaan terlalu lapar. Ini penting bagi mengelakkan bayi anda meragam. Anda juga boleh cuba untuk susukan mereka dalam keadaan mengantuk kerana mereka lebih mudah menerima dalam keadaan mamai. 

2. Cuba pelbagai jenis puting

Penggunaan puting yang tidak bersesuaian boleh menjadi faktor bayi mengelak untuk minum susu badan daripada botol. Para ibu boleh mencuba pelbagai jenis puting yang berlainan tekstur, bentuk dan saiz sehingga anda jumpa puting yang bersesuaian dengan bayi anda. 

3. Cuba pelbagai posisi

Seperti orang dewasa, bayi juga perlu berada dalam posisi atau keadaan yang selesa. Anda boleh cuba susukan bayi anda dalam pelbagai posisi seperti tegak atau separa tegak,  sehinggalah bayi anda kelihatan selesa dan menerima susu botol. Elakkan dari menyusu dalam keadaan baring kerana ia boleh menyebabkan bayi anda tercekik dan sesak nafas. 

4. Pastikan susu masih ‘fresh’

Para ibu sebaiknya menggunakan susu badan yang masih segar, iaitu susu yang baru lepas dipam dan tidak dibekukan. Ini kerana, bayi yang biasa menyusu terus dari badan ibu, biasa dengan rasa susu yang ‘fresh’. Manakala, susu yang telah dibekukan, berkemungkinan berubah sedikit dari segi rasa. 

5. Dapatkan bantuan orang lain

Ibu dan bayi mempunyai hubungan yang sangat kuat. Bayi boleh mengenal ibu mereka melalui bau sahaja! Hal ini juga menjadi antara faktor mengapa bayi enggan minum susu melalui botol kerana bayi ini dapat mengecam bau anda dan mereka akan lebih tertarik untuk minum susu badan secara terus. Oleh itu, anda boleh dapatkan bantuan daripada suami atau ahli keluarga anda yang lain untuk menyusukan bayi anda melalui botol susu. 

Ikuti pelbagai tips keibubapaan, di sini.