Skip to main content

5 Cara Mendidik Si Kecil Berbudi Bahasa

“Anak ini diibaratkan kain putih dan ibu bapa yang akan mencoraknya”. Pernah dengar peribahasa ini? Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam mendidik dan mencorak peribadi anak anak sejak kecil lagi. 

Kebanyakan ibu bapa masa kini, mungkin sudah kurang menerapkan ketegasan ke atas anak-anak mereka dalam mendidik cara berbudi bahasa berbanding waktu mereka dibesarkan oleh ibu bapa dahulu.

Namun, ketegasan dalam mendidik anak-anak tidak salah untuk diterapkan pada kanak-kanak pada masa kini bagi membantu ibu bapa mengajar dan menunjukkan kepada anak cara betul bersopan-santun bagi membantu mereka membentuk kemahiran insaniah dalam diri mereka. Ia juga bertujuan bagi menggalakkan anak-anak untuk bergaul dengan rakan-rakan yang lain dengan lebih baik. 

Menurut Pakar Pediatrik, Dr Lisa Hoang (2022), bermula usia 18 bulan, si kecil mula mengenali perasaan serta meniru kelakuan insan-insan di sekeliling mereka. Dengan menyediakan persekitaran yang dapat merangsang minda mereka melalui tontonan, belajar dan berinteraksi dengan mainan, objek dan orang ramai, ia dapat membantu menggalakkan perkembangan otak kanak-kanak.

Sebagai ibu bapa, anda mestilah mahukan anak anda mempunyai sahsiah diri yang baik supaya mereka disenangi oleh orang sekeliling mereka. Oleh itu, jom lihat apakah cara-caranya untuk mendidik si kecil anda berbudi bahasa!

  • Ajar mereka mengucapkan ‘Terima Kasih’, ‘Maaf’ dan ‘Tolong’

Dalam mengajar anak untuk berbudi bahasa terhadap orang lain ketika meminta pertolongan, ajari anak anda menggunakan perkataan ‘Tolong’.’Please’ di awal ayat untuk meminta bantuan dan akhiri dengan ‘Terima Kasih’, ‘Thank You’ setelah bantuan dihulurkan. 

Selain itu, anda boleh juga ajar mereka menggunakan perkataan ‘Maaf’, ‘Sorry’ sekiranya ada perbuatan yang menyakiti atau perbuatan yang tidak sengaja dilakukan. Ajar mereka untuk gunakan perkataan-perkataan ini dengan kerap serta berikan mereka galakan dan ucapan semangat untuk menggunakan perkataan tersebut dalam perbualan sehari-hari anda supaya mereka terbiasa dengannya. 

Dengan menerapkan penggunaan perkataan-perkataan ini, anak anak akan belajar memahami cara untuk menghargai orang lain serta mengikis sifat ego dengan mengakui kesilapan diri. 

  • Mengucapkan salam dan bersalaman dengan orang lain

Perkara normal yang selalu kita lakukan sebagai orang dewasa apabila berjumpa dengan orang lain adalah memberi salam dan bersalaman dengan mereka. Sebagaimana ibu bapa kita selalu pesan sejak kecil untuk bersalaman dengan orang yang kita jumpa, begitulah kita sebagai ibu bapa harus mendidik anak-anak kita.. 

Mungkin anak-anak anda tertanya-tanya, kenapa perlu memberi salam dan bersalaman dengan orang lain? Jelaskan pada mereka bahawa memberi salam dan bersalaman merupakan satu bentuk teguran atau sapaan sopan sebagai pembuka bicara. Tidak lah kita terus terpa pada mereka. Terkejut pula mereka nanti. Budi bahasa kan budaya kita?

  • Menghormati orang yang lebih berusia

Ibu bapa adalah cerminan anak-anak. Oleh itu, sebagai ibu bapa anda perlu  memberi contoh yang baik di depan anak-anak, tidak kira di antara ahli keluarga mahupun orang luar.

Ajari anak anda untuk memanggil atau membahasakan orang lain yang lebih berusia menggunakan perkataan yang baik seperti ‘Encik’, ‘Cik’, ‘Kakak’, ‘Abang’, dan sebagainya. Mungkin mereka akan berasa janggal dan kekok pada mulanya, tetapi ibu bapa harus memulakan sebagai inisiatif untuk memupuk rasa hormat pada diri anak-anak supaya mereka selesa menggunakan panggilan tersebut di hadapan orang yang baharu mereka jumpa.

Selain panggilan, menghormati orang tua juga turut dapat dilihat daripada perlakuan. Tunjukkan contoh dan ajak mereka untuk sama-sama lakukan perkara tersebut.  Contohnya seperti memberi keutamaan kepada orang lebih tua seperti dalam menuang makanan atau memberi tempat duduk jika di tempat awam.  

  • Berbudi bahasa ketika bermain

Anda mesti pernah lihat situasi di mana kanak-kanak berebut sesuatu dan tak mahu berkongsi, kan? Perkara ini memang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Untuk tangani masalah ini, ibu bapa perlu mengajar anak anda untuk berkongsi sama ada makanan atau mainan dengan rakan atau adik-beradik yang lain. 

Apabila mereka belajar berkongsi, ia akan memupuk sifat rendah diri dalam diri mereka. Dengan penekanan terhadap akhlak dan peribadi yang baik ini, ia akan memupuk rasa hormat terhadap orang lain tanpa mengira usia.

  • Elakkan pengisian televisyen atau video yang tidak baik

Kanak-kanak sangat mudah tertarik dengan visual, lagi-lagi melalui video dan juga televisyen. Namun, anda sebagai ibu bapa harus awasi pengisian konten dalam setiap video tontonan anak-anak anda. Ini kerana, kanak-kanak sering kali meniru aksi yang mereka lihat di hadapan mereka seperti di TV mahupun di internet. Jika baik tontonan mereka, baik lah input yang mereka dapat. Jika tidak baik kandungan nya, ia boleh menjadi pengaruh yang tidak baik untuk mereka. 

Sebaiknya, awasi dan hadkan tontonan kandungan yang mereka boleh tengok dan tidak boleh tengok mengikut usia mereka supaya mereka tidak terdedah dengan perkara yang tidak sepatutnya. 

“Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa”. Jom sama-sama pupuk nilai berbudi bahasa dalam diri si kecil anda serta sebarkan kebaikan dan aura positif pada orang sekeliling kita.

Ditulis Oleh: 
Siti Khairun Nisa’