Awas, Musim Banjir Kembali Lagi! Jom Buat Persediaan Ini!
Ingat lagi tak banjir besar yang telah berlaku di kawasan Shah Alam pada penghujung tahun 2021? Banjir tersebut bukan sahaja telah menjejaskan penduduk di sana, malah ia telah meragut banyak nyawa, mengakibatkan kerosakan harta dan mengancam nyawa manusia. Jika di lihat di dada akhbar, perasaan gerun, seram, risau mula tercetus apabila melihat kenyataan “hujan lebat berpanjangan” mungkin melanda sesetengah negeri termasuklah Sabah dan Sarawak. Di mana, fenomena tersebut jarang sekali didengar.
Di Malaysia, fenomena banjir ini memang biasa berlaku di banyak negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan negeri-negeri di luar bandar.
Namun pada tahun 2022, Selangor, Sabah dan Sarawak merupakan antara negeri terbaru yang tersenarai sebagai kawasan yang terjejas akibat banjir. Oleh itu, sebagai penduduk Malaysia, tak kira di mana sahaja kita berada, kita perlu berjaga-jaga dan sentiasa berada dalam keadaan bersedia sekiranya terjadi lagi pada penghujung tahun 2022 ini.
Jom lihat apa persediaan yang boleh dibuat dalam menghadapi banjir!
PERSEDIAAN SEBELUM BANJIR
Dalam menghadapi banjir, kita perlu sentiasa membuat persediaan yang rapi untuk mengelakkan kerosakan terhadap barangan-barangan penting. Oleh itu, segala dokumen pengenalan diri, surat perjanjian dan barangan berharga perlu disimpan ke dalam bekas kalis air. Folder ini perlu diletakkan di tempat mudah dicapai sekiranya berlaku situasi kecemasan. Seisi keluarga juga harus diberitahu dimana ia disimpan supaya tahu dan peka dimana mereka boleh capai dan simpan barangan tersebut pada waktu kecemasan.
Bagi alatan elektronik atau barang-barang besar yang tidak boleh disimpan di dalam bekas, anda boleh pindahkan barangan tersebut ke tempat yang lebih tinggi seperti tingkat atas, loteng rumah dan sebagainya. Dengan berbuat demikian, risiko kerosakan yang perlu dihadapi pun berkurangan.
Untuk mengelakkan masalah bekalan air berlaku, simpanlah bekalan air bersih bagi kegunaan mandi dan minum. Ini juga bertujuan bagi mengekalkan hidrasi dalam badan semasa menunggu bantuan tiba jika banjir berlaku.
Sediakan juga peralatan kecemasan dan power bank jika berhadapan dengan situasi kecemasan. Dengan persiapan ini, sekiranya telefon bimbit anda habis bateri untuk hubungi bantuan, power bank ada untuk membantu menyelamatkan anda.
BEG KECEMASAN BENCANA
Anda mesti pernah dengar kan tentang slogan yang berbunyi “1 Rumah, 1 Beg Kecemasan”. Perkara ini telah diwartakan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) supaya setiap rumah perlu menyediakan 1 beg kecemasan untuk seisi keluarga yang perlu diletakkan di tempat mudah dicapai sekiranya berlaku situasi kecemasan. Antara tempat mudah dicapai seperti di sudut ruang tamu, di sudut bilik. Atau, anda boleh sediakan awal-awal di dalam kenderaan anda.
Jom lihat apakah barangan yang perlu ada di dalam beg tersebut!
- Beg Waterproof
- Lampu Suluh
- Document Case (Simpan semua dokumen asas yang penting)
- Emergency Kit & Ubat-ubatan (Panadol, Ubat yang mendapat preskripsi doktor)
- Wisel
- Makanan Tahan Lama, contohnya: Energy Bar, Biskut, Susu tepung anak, Makanan segera / dalam tin
- Air mineral
- Bateri, Power Bank & Phone
- Kit Kebersihan (barangan mandian, mask)
- Sedikit Wang Saku
- 1 set pakaian
Jika anda mempunyai anak kecil, siapkan juga barangan mereka seperti:
- Lampin pakai buang
- Selimut bayi
- Makanan/susu bayi (Siap dibungkus dan tahan lama)
- Kelengkapan mandian bayi
- Ubat-ubatan
*Senarai barangan ini adalah saranan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia
Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat semua. Stay safe!