Skip to main content

Atasi Masalah Tidur Malam Anak Anda dengan Tips ini!

Berdepan dengan masalah anak sukar tidur malam boleh menyebabkan terjadinya pelbagai masalah pada ibu bapa dan anak, terutamanya pada tumbesaran si kecil. Anda mungkin tertanya-tanya, kenapa mereka masih sukar untuk tidur malam sedangkan sudah seharian mereka didedahkan pada pelbagai aktiviti pada waktu siang?

Keadaan ini biasa terjadi bagi anak-anak yang melalui masalah sukar tidur malam, atau dalam istilah perubatannya, Sleep Regression– iaitu fasa peralihan waktu tidur. Mereka biasanya akan menahan diri dari tidur walaupun dalam keadaan letih disebabkan oleh beberapa perkara ini: 

  • Waktu tidur yang salah boleh menyebabkan anak anda sukar untuk tidur malam disebabkan ibu bapa menyuruh anak-anak untuk tidur terlalu awal. 
  • Mimpi buruk terjadi disebabkan pendedahan terhadap cerita di televisyen atau cerita seram dan menakutkan yang mempengaruhi minda mereka sehingga menyebabkan mereka takut dan sukar tidur. 
  • Takut untuk tidur asing dengan ibu bapa boleh menjadi salah satu faktor anak-anak sukar tidur malam berkemungkinan disebabkan mereka takut pada gelap dan keadaan yang sunyi kerana bersendirian.
  • Tidur siang pada waktu yang salah dan terlalu lama terutamanya pada waktu petang  boleh menyebabkan kesukaran sehingga mengganggu waktu tidur malam anak anda.
  • Pendedahan terhadap televisyen dan alat elektronik yang terlalu kerap sememangnya boleh mengganggu waktu tidur malam anak anda.

Masalah anak-anak yang sukar untuk tidur malam ini penting untuk diatasi kerana mereka memerlukan tidur yang secukupnya selama 10-12 jam sehari. Ini penting bagi tujuan perkembangan minda dan kecergasan fizikal mereka. Oleh itu, bagi ibu bapa yang berdepan dengan masalah ini, jangan risau! Cuba tips ini sebagai ikhtiar dan solusi kepada masalah ini.

  • Biarkan anak aktif pada waktu siang

Lakukan pelbagai aktiviti pada waktu siang bersama anak anda seperti bermain di taman, melukis atau apa sahaja yang dapat membakar tenaga mereka. Ini dapat membuatkan anak anda mudah tidur pada waktu yang sepatutnya.

  • Cipta rutin waktu tidur yang sesuai

Anda boleh cuba dengan menjadikan waktu tidur anak anda sebagai waktu yang mereka nantikan dengan mewujudkan rutin santai dan menenangkan seperti bercerita, mendodoikannya serta perbanyakkan pelukan untuk si kecil anda.

  • Hindari gajet sebelum tidur

Matikan semua gajet dan peranti serta elakkan anak anda menonton televisyen sebelum tidur. Anda boleh cuba dengan memalapkan lampu serta mainkan muzik lembut yang menenangkan dalam sejam sebelum waktu tidur. 

  • Galakkan anak tidur sendiri dengan ‘kesayangannya’

Jika anak anda mempunyai bantal, teddy bear atau selimut kegemaran mereka, biarkan mereka untuk tidur bersamanya. Ini dapat membantu anak yang susah tidur malam untuk melelapkan mata dengan lebih mudah.

  • Tidak perlu memaksa anak pejamkan mata dengan segera

Sekiranya anak sudah bersedia untuk tidur, anda tidak perlu memaksanya untuk lena dengan segera. Biarkan mereka mendapat mood untuk tidur dengan membaca buku atau berbual dengan mainan kegemarannya.

Selamat Mencuba!