Stres: Lakukan perkara ini untuk tangani stres anda!
Bekerja dan menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa semestinya memberikan satu impak yang besar buat diri seseorang sehingga timbulnya rasa penat. Namun, apa yang membimbangkan, rasa penat ini boleh berubah menjadi lebih serius sehingga berlakunya stres.
Stres bukan sahaja mengakibatkan perubahan hanya pada mental dan emosi, malah ia juga turut mempengaruhi fizikal sehingga mengganggu kesihatan diri. Yang lebih membimbangkan, anak pula selalu menjadi mangsa sehingga berlakunya penderaan dan pembunuhan terhadap kanak-kanak akibat stres.
Melepaskan stres pada anak-anak tidak sepatutnya berlaku. Banyak cara dan perkara yang dapat dilakukan untuk meredakan stres anda. Jom lihat apa perkara yang dapat dilakukan oleh ibu bapa sebagai cara untuk tangani masalah ini!
- Lakukan senaman pantas
Jika tekanan membuatkan anda berasa gelisah dan jantung berdegup lebih laju daripada biasa, pergerakan yang pantas sangat bagus untuk anda. Anda boleh lakukan senaman seperti satu set 20 lompat bintang, 10 tekan tubi atau sit-up, atau berlari setempat selama 30 saat. Dengan melakukan aktiviti ringkas ini, ia akan mengaktifkan beberapa neurotransmitter, termasuk dopamin, serotonin dan norepinephrine yang meningkatkan mood anda serta membantu meredakan kebimbangan dan tekanan.
- Bersosial bersama rakan-rakan
Salah satu sifat semulajadi manusia adalah bersosial dan berinteraksi. Dengan adanya interaksi dengan orang lain seperti berkongsi pendapat dan masalah sambil diselitkan dengan gelak tawa, ia sedikit sebanyak dapat memberikan kelegaan, sekaligus meredakan stres dan emosi anda.
- Melancong atau lakukan hobi kegemaran anda
Melancong dan terokai hobi anda boleh menjadi salah satu terapi kepada stres yang sangat berkesan! Rancang pelbagai aktiviti bersama rakan atau sendirian seperti menonton wayang, karaoke, melukis dan pelbagai lagi aktiviti yang menjadi kegemaran anda.
- Mandi
Jangan terkejut! Betul, anda tak salah baca. Mandi merupakan salah satu terapi atau aktiviti yang dapat meredakan stres. Gunakan mandian aromaterapi sambil mendengar muzik untuk mendapatkan ketenangan dan kelegaan emosi.
- Terokai kehijauan hutan
Anda boleh cuba meluangkan sedikit masa untuk berada lebih dekat dengan alam semulajadi seperti pergi ke taman rekreasi, hutan rekreasi, memanjat bukit, gunung atau pantai. Tahukah anda, jika anda meluangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit di kawasan hijau seperti hutan, ia boleh membantu menurunkan tekanan darah anda dan juga kemurungan!
Jangan biarkan stres kuasai diri anda sehingga mengakibatkan keburukan pada diri dan orang tersayang. Anda perlu kekal gembira dan positif kerana anda berhak menerimanya. Jika anda tidak tahu caranya, ikuti sahaja tips yang kami sediakan di sini. Selamat mencuba!