Sibuk dengan Kerja? Curi Masa untuk Bersama Pasangan Anda!
Pada zaman kini, baik ibu mahupun bapa, kedua-duanya bekerjaya. Selepas pulang bekerja, tugasan mereka tak habis sekadar di tempat kerja. Malah, sambung pula ‘pekerjaan’ sebagai ibu bapa di rumah dengan menguruskan anak-anak. Bila dah seharian bekerja, badan pula dah letih, bila pula masa nak bersama dengan pasangan?
Dalam rumah tangga, tak kira lah sesibuk mana pun kita, sebaiknya cari lah masa untuk bersama dengan pasangan berdua walaupun hanya 10 minit. Menurut Pakar Psikologi, Dr. Philip Cowan, pasangan yang sentiasa menjaga keharmonian dalam rumah tangga didapati memilki kehidupan perkahwinan yang lebih memuaskan. Dengan meluangkan masa bersama, ia dapat menjadikan hubungan yang berkualiti bersama pasangan serta membantu kedua-duanya berasa lebih baik mengenai diri mereka dan menjadi lebih produktif.
Oleh itu,cari peluang untuk curi masa bersama dengan pasangan anda! Tak tahu bagaimana? Ikuti tips seperti di bawah!
Jadikan masa berdua satu keutamaan
Bila dah seharian bekerja, waktu selepas kerja lah satu-satunya masa yang ada untuk kita lakukan apa sahaja perkara bersama pasangan dan keluarga anda. Sebagai ibu bapa, anda mesti akan uruskan makan minum, mandi dan tidurkan anak semua dahulu. Selepas urusan anak anda selesai, sentiasa cari masa untuk berduaan bersama pasangan anda. Anda boleh luangkan masa berdua dengan menonton televisyen, berbual di ruang tamu atau nikmati ‘supper’ berdua. Apa sahaja aktiviti ringkas di rumah yang boleh dilakukan bersama, sentiasa utamakan dan jadikannya satu keutamaan dalam rumah tangga anda.
Raikan setiap tarikh istimewa pasangan
Apabila hadir tarikh-tarikh istimewa seperti hari ulang tahun perkahwinan, hari lahir pasangan, atau hari lahir diri sendiri, raikan bersama pasangan di tempat yang istimewa. Hargai pasangan seadanya. Jika tidak berpeluang untuk meraikan hari istimewa di luar, raikannya bersama di rumah sewaktu anak sudah tidur atau ke sekolah. Usia bukanlah penghalang untuk kekal romantis bersama pasangan. Sentiasa tunjukkan kasih sayang di sepanjang perkahwinan kerana masa yang kita ada bersama pasangan adalah terhad. Pasangan kita adalah pasangan yang terbaik buat kita walaupun tidak sempurna.
Selain daripada meraikan tarikh-tarikh istimewa, anda boleh saja meraikan kejayaan atau berikan kegembiraan waktu pasangan anda sedih. Contohnya, meraikan hari pertama pasangan anda bekerja di pejabat baru dengan memberikan sekuntum bunga, atau apa sahaja sebagai tanda ingatan, ucapan tahniah dan beri pujukan serta perhatian pada mereka. Ingat bahawa sekecil-kecil perlakuan pun boleh boleh memberikan impak dan kesan pada diri insan yang anda sayang.
Amalkan ‘Language of Love’
Setiap pasangan mempunyai love language atau bahasa cinta yang berbeza. Ada yang berpendapat bahasa bahasa cinta dari kata-kata, ada juga yang berpendapat dari gerak tubuh dan fizikal. Tetapi, tahukah anda bahawa sentuhan peribadi adalah ‘bahasa cinta’ yang kuat. Dalam kehidupan seharian, setelah lalui satu hari yang panjang, pasangan merindui sentuhan daripada pasangan mereka. Oleh itu, selepas pulang dari kerja, dengan menyambut kepulangan pasangan, peluklah mereka dengan erat. Percayalah, segala rasa penat, lelah, stress dan segala perasaan negatif boleh hilang begitu saja. Ajaib kan?
Selain itu, anda boleh juga lakukan urutan kecil di bahu pasangan sebagai tanda anda beri perhatian pada mereka, berikan keselesaan pada mereka setelah seharian bekerja. Dengan sentuhan dan gerakan kecil seperti ini, ia dapat menaikkan mood positif dan boleh membuatkan anda dan pasangan berasa tenang.
‘Pillowtalk’ dengan pasangan sebelum tidur
Nak keluar date, dah lewat malam pula. Apa kata anda hanya di di rumah saja? Kalau anda tak rasa mahu menonton televisyen, supper dan sebagainya, anda dan pasangan boleh saja masuk awal ke bilik tidur dan baring. Sebelum tidur, sembang sahaja bersama pasangan anda tentang apa sahaja yang anda mahu kongsikan seperti video lawak di media sosial ke, kisah lawak yang terjadi di pejabat atau kenderaan awam ke. Sesi ‘Pillowtalk’ ini bukan saja mewujudkan kemesraan antara pasangan, malah dapat meningkatkan komunikasi yang baik dengan pasangan anda.
Semoga ikatan kasih sayang anda dan pasangan semakin erat. Selamat bercinta!