Skip to main content

Resepi Mudah & Sedap untuk Anak yang Tak Sukakan Nasi 

Waktu makan adalah waktu yang paling mencabar untuk sesetengah ibu bapa, lagi-lagi bila anak mereka tak mahukan nasi. Bila tibanya waktu persekolahan, anda pasti berasa bimbang tentang pemakanan anak anda di sekolah mahupun selepas pulang dari sekolah. Bila dikenang kembali makanan yang ada di sekolah seperti bebola ayam, nugget, air manis yang menjadi kegemaran dan pilihan di sekolah, anda pasti tak mahu anak anda makan makanan yang tidak berkhasiat untuk tumbesaran mereka. 

Karbohidrat sangat penting untuk tumbesaran anak-anak kerana ia merupakan sumber tenaga mereka. Jadi, anda sebagai ibu bapa perlu bertindak dengan menyediakan bekal yang menggunakan sumber karbohidrat lain seperti roti, tepung, pasta sebagai pengganti nasi untuk pastikan pemakanan anak anda lengkap dengan sumber makanan yang berkhasiat. Anda pasti tahu makanan apa yang sering menjadi pilihan mereka selain nasi. Apa kata, ambil inisiatif dengan bangun pagi atau sediakan bekal pada waktu malam untuk mereka bawa ke sekolah atau nikmatinya di rumah selepas balik sekolah. Bukan sahaja mereka suka, anda juga tahu apa khasiat dalam makanan yang anda sediakan. 

Jom lihat resepi-resepi menarik yang menggunakan sumber karbohidrat lain sebagai pengganti nasi yang anda boleh sediakan untuk anak-anak bawa ke sekolah!

Pankek Nutella

Haa… ini bukan Dorayaki, tapi pankek! Pankek ni bukan sahaja menjadi sajian breakfast  tau, tapi boleh juga menjadi makanan untuk anak-anak di sekolah, lebih-lebih lagi mereka yang tak sukakan nasi. Paling menambat hati anak-anak mestilah sapuan Nutella di tengah-tengah pankek tu. Anda juga boleh bekalkan mereka dengan buah-buahan serta minuman susu kegemaran mereka. Jom lihat  bahan dan cara-cara membuat pankek ini!

Bahan-bahan:

  • 1 biji Telur
  • 4 sb Marjerin yang telah dicairkan
  • 3 sb Gula (boleh tambah@kurangkan)
  • 1 1/2 cawan Susu Segar (anggaran)
  • 1 sk Esen Vanilla
  • 2 cawan Tepung Gandum
  • 2 sb Baking Powder
  • 1 sk Garam
  • Sapuan Nutella

Cara-cara penyediaan:

  1. Pukul telur, marjerin, gula, susu segar dan esen vanilla hingga sebati.
  2. Ayakkan tepung, baking powder dan garam ke dalam adunan tadi. Kacau lagi sehingga rata dan sebati.
  3. Rehatkan adunan selama lebih kurang 5 minit.
  4. Sendukkan adunan ke atas non-stick pan yang telah di panaskan. Terbalikkan pankek bila buih dah mula pecah. Tunggu sehingga kekuningan dan boleh diangkat. 
  5. Sapu Nutella di atas satu keping pankek.
  6. Letakkan satu keping pankek di atasnya seperti sandwich.
  7. Bekal siap untuk dibawa!

Creamy Spaghetti

Bukan ibu bapa je sukakan makanan yang creamy, anak-anak pun suka tau! Apa kata, sediakan Creamy Spaghetti ini sebagai bekal atau makanan mereka di rumah. Bukan je sesuai dengan selera mereka, kita pun tak pening kepala fikirkan apa lagi makanan yang mereka suka. Jom lihat bahan dan cara-cara penyediannya!

Bahan-bahan:

  • Spaghetti
  • ¼ bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • Dada ayam
  • Lobak merah
  • Brokoli
  • Cheese

Cara-cara penyediaan:

  1. Rebus spaghetti sehingga lembut.
  2. Tumis bawang putih dan bawang merah menggunakan unsalted butter atau olive oil.
  3. Masukkan ayam yang sudah dicincang halus.
  4. Masukkan sedikit air.
  5. Masukkan cheese. 
  6. Kalau nak pekatkan kuah, tambah kan sedikit bancuhan tepung jagung.
  7. Bila kuah dah siap, boleh tuang pada pasta. Bekal siap untuk dibawa!

Tortilla Gulung Bertelur 

Kalau anda biasa sediakan sandwich telur, apa kata kali ni anda sediakan Tortilla gulung bertelur pula? Anak-anak pasti suka dengan keenakan rasa inti telur yang lemak, masam manis tu. Bukan saja sedap, malah lengkap dengan sayur-sayuran dan khasiat lain. Cara penyediaan pun mudah je. Jom lihat cara-caranya!

Bahan-bahan:

  • 2 keping tortilla
  • 2-3 biji telur
  • 2 sudu makan mayones
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • Secubit garam
  • Salad

Cara-cara penyediaan:

  1. Untuk menyediakan tortilla gulung, panaskan kuali non-stick.
  2. Panaskan tortilla seketika dan ketepikan.
  3. Menggunakan kuali yang sama, pecahkan telur di dalamnya.
  4. Kacau dan jadikan telur hancur. Angkat dan masukkan dalam mangkuk.
  5. Campurkan mayones bersama serbuk lada hitam dan sedikit garam.
  6. Gaul rata dan ketepikan.
  7. Letakkan sayuran dan inti telur di tengah-tengah tortilla. Kemudian, gulung dan potong dua.
  8. Susun tortilla gulung dalam bekas dan siap untuk dibawa!

Makaroni Bakar Berkeju

Anak-anak mesti paling berselera setiap kali ibu atau bapa sediakan makaroni atau spaghetti. Tambah-tambah kalau letak cheese, lagi lah mereka suka. Untuk anda yang mahu tambat selera anak, boleh lah cuba sedikit kelainan dengan sediakan Makaroni Bakar Berkeju ni! Bukan saja mudah dan enak,  selera anak pun makin bertambah. Jom lihat bahan dan cara penyediannya!

Bahan-bahan:

  • 250gm makaroni | rebus dan tos
  • 100gm daging kisar
  • 1 biji tomato | buang biji dan dadu kecil
  • 150gm parutan keju mozarella
  • 1 sudu makan serbuk oregano
  • 4 sudu makan sos bolognese
  • 2 sudu makan sos cili
  • 2 ulas bawang putih | cincang halus
  • 1/2 biji bawang Holland | cincang halus
  • 3 sudu mentega
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara penyediaan:

  1. Panaskan mentega dalam kuali, tumiskan bawang merah dan putih hingga wangi.
  2. Masukkan daging kisar, kacau hingga daging bertukar warna.
  3. Seterusnya masukkan pula sos bolognese dan sos cili.
  4. Kacau rata, kemudian masukkan makaroni dan tomato yang dipotong dadu..
  5. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  6. Tutup api.
  7. Panaskan ketuhar pada suhu 200C.
  8. Sementara itu, masukkan makaroni dalam cawan aluminium foil.
  9. Taburkan di atasnya parutan keju dan serbuk oregano.
  10. Bakar lebih kurang 15 minit.
  11. Bekal siap untuk dibawa!

Cucur Nasi Berkentang

Macam-macam cara masakan nasi dah anda cuba berikan pada anak-anak, tapi masih tak berkesan? Cuba ‘trick’ ni dengan sediakan Cucur Nasi Berkentang! Mesti mereka sukakan rasa kentang yang empuk umpama makan bergedil dan hashbrown. Nak buat pun mudah je. Jadi, jom lihat bahan dan cara-cara penyediaannya! 

Bahan-Bahan:

  • 1 cawan nasi putih | kisar dengan sedikit air 
  • 2 biji kentang | rebus dan lenyek
  • 1 cawan tepung gandum
  • Sedikit hirisan daun bawang
  • Sedikit hirisan cili benggala merah
  • 1 sudu teh serbuk perasa ayam
  • Sedikit garam
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-cara penyediaan:

  1. Campurkan nasi yang telah dikisar bersama kentang lenyek dalam mangkuk adunan.
  2. Gaul rata, tambahkan hirisan daun bawang dan cili Benggala, serbuk perasa ayam dan garam secukupnya.
  3. Gaul lagi dan tambah tepung sedikit demi sedikit sehingga menjadi bancuhan cucur yang sesuai.
  4. Panaskan minyak, goreng hingga kekuningan.
  5. Bekal siap untuk dibawa!

Selamat mencuba!

Ditulis Oleh:
Siti Khairun Nisa