Kembali ke Sekolah: Persediaan Emosi Anak-Anak Sebelum ke Sekolah
Bila tahun baru semakin hampir, musim cuti sekolah pun dah nak berakhir. Anda dah mula buat persediaan ke untuk anak-anak? Haa, jangan lengah-lengah, takut nanti tak sempat pula. Bila bercakap tentang anak-anak untuk kembali ke sekolah, pastinya ibu bapa sibuk menyediakan persediaan dari segi kelengkapan anak-anak ke sekolah seperti baju, kasut, beg sekolah, buku tulis, kelengkapan menulis dan sebagainya. Paling penting, ibu bapa juga perlu bersedia untuk memikirkan pengangkutan, peneman atau penjaga anak-anak selepas mereka pulang dari sekolah.
Namun, tahukah anda bahawa persediaan mental dan emosi untuk anak-anak juga penting sebelum mereka kembali ke sekolah? Lebih lebih lagi jika anak anda pertama kali mahu melangkahkan kaki ke alam persekolahan serta anak-anak yang berpindah ke sekolah baharu.
Jika anda tak tahu apa persediaan yang perlu anda persiapkan untuk anak anda, apa kata ikuti tips dibawah untuk membantu anda!
Aturkan rutin harian
Wujudkan rutin tetap untuk bersedia ke sekolah. Jangan lupa untuk latih anak anda tidur pada waktu yang tetap bagi memastikan mereka mendapatkan tidur mencukupi pada waktu persekolahan nanti . Dengan adanya rutin ini, anak anda akan lebih bekerjasama, kurang bimbang serta membina keyakinan mereka untuk kembali ke sekolah. Secara tak langsung, ia mengajar mereka untuk lebih berdikari dan bertanggungjawab terhadap mengikut rutin dan mematuhi masa.
Bincang mengenai sekolah
Bagi anak-anak yang pertama kali bersekolah atau berpindah ke tempat baharu, mereka mungkin menghadapi kerisauan atau takut untuk bergaul dengan orang baru. Oleh itu, anda boleh ambil langkah dengan bincangkan perkara positif yang bakal mereka lalui atau alami di sekolah, contohnya dapat membuat ramai kawan baharu dan rasa persekitaran baharu yang mungkin akan menggembirakan mereka.
Jika anak anda bertanya tentang sekolah, guru, rakan-rakan dan sebagainya, jangan biarkan persoalan mereka tergantung. Sebaliknya, jawablah segala persoalan mereka. Yakinkan mereka bahawa semuanya akan berjalan lancar dan anda sentiasa bersedia membantu mereka jika mempunyai sebarang kesulitan.
Ingat bahawa setiap kata-kata anda mempengaruhi mental dan emosi anak-anak anda. Elakkan daripada membuat kenyataan bersifat negatif dan buruk mengenai persekolahan untuk menakut-nakutkan anak, contohnya memberi amaran akan dirotan oleh guru jika berperangai buruk atau tidak menyiapkan kerja sekolah.
Dengar luahan anak
Sebagai manusia, mempunyai kebimbangan dan kerisauan di fikiran itu satu lumrah kehidupan walaupun kanak-kanak. Namun, sebagai ibu bapa anda berperanan penting untuk menggalakkan anak-anak anda menyuarakan semua kebimbangan dan keperluan mereka kepada anda atau orang dewasa lain yang mereka percayai. Beritahu mereka supaya jangan takut untuk bersuara tentang apa yang mereka fikirkan. Dengan mendengar apa yang mereka fikirkan, anak-anak akan rasa dihargai kerana anda memberikan perhatian pada mereka.
Ajar dan kukuhkan tingkah laku serta kemahiran positif lain
Anak anda pemalu dan segan untuk bergaul dengan orang? Ambil langkah dengan mengajar anak anda tentang kemahiran sosial, menyelesaikan masalah dan meleraikan konflik untuk kesihatan mental mereka yang baik. Kebanyakan nilai ini boleh diajar dengan memberi beberapa tanggungjawab di rumah yang berpadanan dengan umur, aktiviti bermain tidak berstruktur untuk menggalakkan pembabitan mereka bersosial.
Kekal aktif secara fizikal dan tingkatkan kesihatan
Tabiat makan secara sihat, senaman secara tetap dan tidur mencukupi melindungi kanak-kanak daripada merasa stres ketika dalam situasi yang sukar. Senaman yang tetap juga mengurangkan emosi negatif seperti kebimbangan, kemarahan, dan kemurungan.
Persediaan mental boleh memberi banyak manfaat dalam membantu anak anda menyesuaikan diri. Di samping persediaan sosial dan fizikal, pembabitan anda akan memberi banyak kelebihan kepada anak anda berbanding rakannya. Mempunyai asas yang teguh dari awal akan membantu anak anda mendapat pengalaman persekolahan dan kehidupan yang lebih bermakna dan produktif.
Semoga tips berikut dapat menaikkan semangat anak-anak anda untuk kembali ke sekolah!
Ditulis Oleh:
Siti Khairun Nisa’