Skip to main content

Guna Teknik ‘Burger’ untuk Berbincang dengan Pasangan? Tak Tahu Kan? Jom Baca!

 

“Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”

Asam garam rumah tangga, bertegang urat, bertikam lidah ni memang perkara biasa. Kalau tak ada, tak berseri lah rumah tangga tanpa pujuk-memujuk. Bila wujudnya pertengkaran atau permasalahan, kita dapat lebih mengenali pasangan serta sama-sama cuba untuk perbaiki hubungan suami isteri. 

Kajian dari BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences (2022) menyatakan bahawa, kebahagiaan suami isteri terbentuk melalui pergaulan yang baik antara satu sama lain. Pergaulan baik akan memberi kesan positif kepada kualiti perkahwinan. Namun jika sebaliknya, akan menyebabkan keluarga sentiasa dalam keadaan bermasalah. Ini dibuktikan dengan masalah rumah tangga yang pelbagai seperti peningkatan kes penceraian yang sangat membimbangkan, pembunuhan tragis antara suami dan isteri serta keganasan rumah tangga membuktikan bahawa tiadanya ketenangan, cinta dan kasih sayang dalam rumah tangga.

Oleh itu, sebagai pasangan suami isteri, anda perlu mengambil beberapa pendekatan untuk menyuarakan pendapat dan berbincang permasalahan dengan pasangan dan tidak dipengaruhi aura negatif supaya rumah tangga dapat dipelihara . 

Jom lihat teknik-teknik yang anda boleh gunakan sebagai cara atau pendekatan yang anda boleh gunakan untuk berbincang dengan pasangan anda!

Teknik 1

Berbincang Untuk Setiap Perkara

Lain orang, lain ragam. Begitulah hidup di alam perkahwinan. Betul, memang ada pasangan yang pantang buka mulut, ada saja bahan yang boleh dijadikan pergaduhan. Mesti anda tak mahukan hubungan yang sentiasa tegang dengan pasangan kan? Takkan 10 tahun kahwin, hari-hari nak gaduh? Jadi, berbincanglah dengan pasangan anda secara baik dan telus. 

Bincangkan dari sekecil-kecil perkara sehinggalah ke perkara yang besar. Antara perkara kecil yang boleh dibincang seperti nak makan kat mana, mana nak hantar anak sekolah, apa lagi yang boleh diperbaiki dalam hubungan dan macam-macam lagi perkara yang boleh dibincangkan. Bila adanya perbincangan atau komunikasi ini, maka pasangan tahu pendapat masing-masing. Pergaduhan pun dapat dielakkan bila sama-sama fikirkan solusi. Ingat, bahawa berbincang ni bukan untuk bergaduh. Berbincang untuk improve hubungan supaya rumahtangga lebih aman damai dan kekal sehingga ke akhirnya.

Teknik 2

Jangan terus ‘serang’ pasangan

“Tau tak I ni penat?”

Dan bermulalah episod bertikam lidah antara suami isteri…Ini bukan caranya. Jangan serang pasangan anda dengan menembak mereka dengan statement penuh emosi. Walaupun anda penat baru balik kerja dan perlu berbincang hal penting dengan pasangan, jangan balas dengan emosi yang boleh menyebabkan pergaduhan besar. Sebaliknya, minta masa untuk bertenang seketika dan balas dengan baik pada pasangan anda. Anda boleh membalas dengan berkata, “I penat sangat sekarang. Nak rehat dulu. Kita bincang nanti ok?”. Haa, kan manis tu. Pasangan pun sejuk hati nak berbincang bersama. Paling penting, pergaduhan pun tak tercetus. 

Teknik 3

Teknik Burger

Anda mesti tertanya-tanya, apa pulak teknik burger ni? Dalam kata lain, teknik burger ni sebenarnya teknik berlapik. Contohnya, anda dah lama simpan perasaan tentang pasangan anda, nak tegur depan-depan takut kena marah. Jadi, anda boleh gunakan teknik burger ini di mana anda memuji dulu pasangan anda. Kemudian, anda selitkan teguran dan akhiri dengan pujian lagi. Contohnya begini, “Saya suka penampilan awak. Segak je. Nanti pakai lah deodarant hari-hari. Bila settle bau badan, confirm A+!”

Bila anda tegur berlapik macam ni, tak adalah terasa hati pasangan anda, mesej teguran pun sampai ke hati mereka. Kalau anda terus je tegur tak berlapik, get ready lah nak perang dunia ketiga!

Teknik 4

Beli Jiwa

Baik lelaki mahupun perempuan, kedua-duanya mempunyai cara atau teknik yang berbeza untuk ‘beli jiwa’ mereka. Wanita lebih cenderung untuk ditambat hati mereka melalui pujian, lelaki pula mudah untuk ditambat hati mereka dengan penghargaan. Bila adanya sesi ‘beli jiwa’ sesama suami isteri begini, pergaduhan pun dapat dielakkan. Suami isteri pun kalau nak berbincang, sejuk je hati bila sebelum tu dah ditambat hati mereka, kan?

Suami Isteri perlu elakkan ‘3M’ ini ketika berbincang

  • Menyindir
  • Merendah-rendahkan
  • Meninggikan suara

Ingat bahawa tujuan anda berbincang adalah untuk apa. Jadi, elakkan ‘3M’ ini dalam perbincangan untuk capai kata sepakat. Semoga anda dan pasangan dapat amalkan cara yang sihat untuk selesaikan masalah dengan berbincang menggunakan teknik-teknik ini!

Ditulis Oleh:
Siti Khairun Nisa’