Bermain Pun Ada Manfaat Ke untuk Anak-anak? Jom Lihat Apa Kepentingannya!
Cuti sekolah tiba lagi! Anda yang tak kemana-mana tu, mesti merancang sesuatu dengan anak-anak di rumah kan? Nak bergerak ke sana-sini, risau pula jalan sesak. Jadi, ini lah masanya untuk luangkan masa bersama keluarga di rumah! Tapi, mungkin anda tertanya-tanya apa yang boleh anak anda lakukan di rumah? Kalau biar je mereka tengok televisyen, tak bermanfaat pula. Nak biarkan mereka bermain, apa permainan yang bermanfaat untuk mereka? Haa…jangan tak tahu bahawa bermain ni pun ada manfaatnya tau!
Bermain memberikan anak ruang dan peluang untuk berkawan, menambahkan imaginasi, kreativiti, memperbaiki self-awareness, hargai diri, merapatkan hubungan dengan ahli keluarga, menambahkan skil sosial, dan skil untuk belajar. Mereka juga dapat belajar untuk mengatasi masalah (problem solving), berdikari, meningkatkan daya tahan diri (resilient), memperbaiki kualiti kehidupan, self reflection dan bermacam-macam lagi. Bermain adalah penting untuk mengembangkan kreativiti serta membantu untuk perkembangan otak yang sihat. Melalui bermainlah kanak-kanak dapat berinteraksi dan meneroka (explore) dunia di sekeliling mereka.
Untuk anda yang tak tahu apa permainan yang baik dan memberi faedah untuk mereka, jom lihat permainan yang boleh anak-anak lakukan pada musim cuti sekolah ini!
Blok dan mainan binaan
Anak anda sukakan bangunan dan kenderaan? Asah minat mereka sejak kecil dengan permainan blok dan mainan binaan! Dengan pendedahan terhadap permainan tersebut, ia dapat membantu merangsang pertumbuhan otak dalam semua aspek perkembangan.
Ada kajian turut membuktikan bahawa kanak-kanak yang bermain blok secara kerap ketika berusia 3, 4 dan 5 tahun akan lebih baik dalam pelajaran matematik, khususnya algebra apabila berada di sekolah menengah. Jadi, kalau anak anda gemar membina blok, biarkan mereka teroka. Sebaliknya, sokong mereka dengan memberi mereka mainan blok kayu, Lego dan sebagainya.
Jigsaw Puzzle
Jika mainan blok dan mainan binaan menarik minat anak-anak lelaki anda, haa… ini dia mainan yang sering menjadi kegemaran kanak-kanak perempuan iaitu Jigsaw Puzzle! Jigsaw puzzle atau susun gambar, sama seperti permainan blok dan lego, turut menyokong perkembangan kanak-kanak dalam pelbagai cara dan merangsang kemahiran mereka seperti:
- Kemahiran menyelesaikan masalah
- Koordinasi tangan-mata
- Kemahiran motor halus
- Pengecaman bentuk
- Ingatan
- Kemahiran kesedaran spatial dan banyak lagi
Jika sejak usia 2-3 tahun anak anda menunjukkan minat terhadap permainan ini, sebaiknya anda boleh berikan mereka Jigsaw Puzzle 4-12 keping dahulu. Apabila mereka menginjak ke prasekolah, mereka akan lebih seronok untuk teroka puzzle yang lebih kompleks iaitu 12-20 keping atau lebih.
Playdough, slime & bola
Pernah tak anda buat pinggan mangkuk serta cawan dari tanah liat waktu pendidikan seni dulu? Mesti pernah kan? Tapi masa tu, tanah liat yang digunakan bukanlah tanah liat atau playdough yang menjadi mainan anak kita pada masa kini. Lepas je menguli, mesti tangan anda melekit-lekit.
Keterujaan bermain dengan tanah liat bukan saja dirasai oleh anda dulu, malah anak-anak anda juga pasti teruja. Dengan menggalakkan anak anda bermain dengan permainan ini, kita sebagai ibu bapa dapat tunjukkan pada mereka bahawa kita meraikan imaginasi mereka. Kita juga dapat membantu mereka mencurahkan idea kreatif, membantu anak menerima hasil mereka dan belajar meraikan hasil mereka. Proses ini menarik kerana ia memberi keunikan pengalaman tersendiri pada si kecil.
Apabila anak bermain sebarang mainan budak melibatkan penggunaan kedua-dua belah tangan, ia meningkatkan koordinasi antara tangan serta mata dan kemahiran lain seperti menggenggam dan memegang.
Pretend play
Dulu-dulu bila mak ayah bawak pergi kedai mainan, seronok betul perasaan tu! Kalau dapat permainan masak-masak, permainan profession seperti doktor, polis, tak sabar nak buka dan bermain di rumah. Main sorang-sorang pun takpe! Tahu tak, bahawa permainan sebegini yang dipanggil sebagai pretend play atau role play ini baik untuk kanak-kanak?
Pretend play atau role play merupakan permainan dramatik yang mempunyai manfaat kognitif, sosial dan emosi yang terbaik. Ini kerana melalui permainan seperti ini, contohnya bermain masak-masak, doktor atau guru, anak akan mula menerokai apa yang disukai, diminati dan menjelajahi dunia di sekeliling mereka. Permainan ini juga memberi peluang kepada anak untuk belajar perkara baharu berkaitan kehidupan.
Kanak-kanak sedang membina kemahiran sosial dan emosi, menyokong kemahiran menyelesaikan masalah yang kompleks, belajar membaca isyarat sosial, berkongsi, bergilir-gilir dan banyak lagi apabila mereka terlibat dalam permainan dramatik.
Arts & Craft
Selain daripada mendedahkan anak-anak pada permainan, anda juga boleh dedahkan anak-anak pada permainan yang berbentuk pelajaran seperti Seni dan Kraf. Seni dan Kraf merupakan antara permainan yang digemari kanak-kanak kerana mereka dapat pendedahan terhadap kreativiti dan seni melalui penggunaan kertas, pensel warna, krayon dan gunting.
Lihat saja kegembiraan yang terpancar di wajah mereka apabila berjaya menghasilkan potongan bentuk unik menggunakan gunting dan kertas. Jangan lupa untuk puji dan berikan mereka sokongan untuk terus tingkatkan motivasi mereka untuk terus berimaginasi dan menjadi kreatif. Selain daripada penggunaan kertas, pensil warna, gunting dan lain-lain, anda boleh galakkan anak anda mebuat dekorasi menggunakan kapas, kekacang dan butang.
Namun, anda perlu pantau penggunaan mereka terhadap gunting dan benda-benda lain untuk pastikan mereka dalam keadaan selamat.
Semoga cuti pada kali ini mendatangkan manfaat buat anda sekeluarga! 🙂
Ditulis oleh:
Siti Khairun Nisa’