Skip to main content

Aktiviti Cuti Sekolah: Memasak Bersama Si Kecil di Rumah

Waktu kecill, mesti anda pernah lalui momen di mana anda bermain masak-masak dengan kawan-kawan kan? Bila diingat kembali, ia pasti mencuit hati bila mengenangkan anda hanya menggunakan benda-benda yang tidak boleh dimakan seperti batu, daun dan sebagainya. Anak anda juga mungkin melalui momen yang sama. Minat atau keinginan ingin mencuba ini memang fitrah setiap manusia. Anak-anak yang semakin meningkat usia, pasti teruja setiap kali mereka lihat para ibu memasak di dapur. Pasti riuh dengan keletah mereka yang mahu membantu di dapur. 

Sebagai ibu bapa, anda pasti mahu menyediakan hidangan yang berkhasiat dan digemari seisi keluarga terutama sekali untuk si kecil anda.  Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, memasak bersama anak-anak terutama sekali makanan kegemaran mereka bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara ibu bapa dengan anak malahan, dapat melatih serta mendidik anak untuk mengetahui apa yang dimakannya secara sihat. Secara tidak langsung, anak-anak dapat mempraktikkan apa yang dilihat dan dipelajari. 

Jadi, pada musim cuti sekolah ini, apa kata anda beri pengalaman yang menyeronokkan buat mereka dengan mengajak anak anda untuk sama-sama sediakan pelbagai resepi mudah bersama. Get ready untuk singsingkan lengan baju anda dan masak!

1.Pizza ‘Simple’

Siapa yang tak sukakan Piza? Paling seronok bila kita dapat buat Piza sendiri di rumah bersama keluarga. Bahagian yang menyeronokkan adalah apabila semua orang, lagi-lagi si kecil anda teruja mahu membuat topping tersendiri dan menambah sebanyak mana yang mereka inginkan dan menjadi santapan kegemaran keluarga anda. 

Dengan adanya aktiviti membuat piza ini, ia dapat menambahkan keyakinan dalam diri anak anda. Mereka akan rasa lebih dihargai apabila kita memberikan kepercayaan kepada mereka untuk membantu anda. Contohnya seperti kita meminta mereka bantu anda memotong sosej atau menyusun topping di atas Piza. 

Bahan- bahan:

  • Pizza base instant/ roti 
  • 1 cawan sos tomato atau sos piza
  • Kepingan daging peperoni atau daging dicincang
  • 2 cawan keju Mozzarella
  • 1 cubit basil kering atau segar
  • 1 cubit oregano kering atau segar
  • Bahan tambahan mengikut kesukaan: Sosej, Zaitun, Tomato, Lada Benggala, Cendawan butang.

Langkah-Langkah:

  • Panaskan ketuhar hingga 220°C.
  • Ratakan sos tomato atau sos piza di atas roti pita.
  • Tambahkan topping yang dikehendaki – keju, peperoni, basil dan oregano.
  • Letakkan ke dalam ketuhar untuk 10 minit atau hingga ia mencapai kehangatan yang dikehendaki dan apabila keju kelihatan kembung/ menggelegak..
  • Biarkan piza anda sejuk sebentar sebelum memotongnya. Hidangkan semasa panas.

2. Kek Butter Marble


Kalau anda pernah makan kek Butter Marble ni, anda memang oldskool! Dulu-dulu, setiap kali ibu kita cakap nak buat kek, mesti kita request nak kek butter marble ni. Jadi, apa kata anda kembalikan memori bersama ibu anda dengan melakukannya bersama anak anda. Part paling seronok apabila kita dapat memilih kombinasi warna yang kita suka dan dapat membuat corak yang kita mahukan.

Dengan adanya aktiviti membuat kek Butter Marble ini, ia dapat merangsang serta melatih kreativiti dan imaginasi anak-anak anda dengan membiarkan mereka  menghias kek mengikut citarasa mereka. Selain itu, aktiviti ini juga dapat mengajar mereka  mengenali warna. Mereka pasti teruja menyebut warna-warna yang mereka kenali.  Mereka juga dapat melihat kejadian warna baharu melalui percampuran warna. Pasti anak-anak anda teruja melihat perubahan tersebut dan tak sabar nak teroka bermacam-macam lagi warna lain.

Bahan A:

  • 250g Butter
  • 250g Gula kastor

*** Putar sampai menjadi cream

Bahan B:

  • 250g Telur (lebih kurang 4 biji telur gred A)
  • 1/2 tsp Vanilla essence
  • 50g Susu cair tin

Bahan C:

  • 250g Tepung gandum
  • 1tsp Baking powder

Langkah-langkah:

  • Putar bahan A sehingga mendapat tekstur yang creamy
  • Masukkan bahan B
  • Akhir sekali masukkan bahan C
  • Aduk hingga sebati. Bahagikan warna ikut kesukaan anda.
  • Masukkan dalam loyang dan bakar pada suhu oven 180 darjah selama 30 minit.
  • Siap dan sedia dihidang!

3.Mac & Cheese Bites

Kanak-kanak dan Mac & Cheese memang tak dapat dipisahkan. Apa kata anda sediakannya dalam bentuk yang lebih kecil dan mudah dimakan dengan hanya menggunakan acuan muffin. Anak-anak pasti teruja bila melihat makanan kegemaran mereka disediakan dalam bentuk yang comel dan mudah untuk mereka pegang. 

Penyediaan Mac & Cheese Bites ini bukan sahaja menepati keinginan selera anak-anak anda, malah mereka pasti berasa seronok dapat membantu meletakkan makanan tersebut ke dalam acuan. Ini dapat mengasah sifat berdikari dalam diri mereka di mana mereka dengan sendirinya akan sukarela mahu membantu tanpa perlu disuruh. 

Bahan-bahan: 

  • Makaroni yang belum direbus
  • 2 sudu besar mentega
  • 2 sudu besar tepung serbaguna/gandum
  • 1½ cawan susu
  • 1 cawan keju cheddar diparut
  • 2 auns keju krim
  • ½ sudu kecil garam
  • ¼ sudu kecil lada
  • Sosej
  • 1 biji telur
  • ½ cawan keju cheddar parut untuk hiasan
  • Pasli atau kucai yang dicincang (Bergantung kepada pilihan anda)

Langkah-langkah: 

  • Panaskan ketuhar pada suhu 160 darjah.
  • Cairkan mentega ke dalam kuali dengan api sederhana tinggi. Kemudian, tambahkan tepung serbaguna/ gandum dan pukul sehingga adunan sebati.
  • Tambahkan susu dan gaulkan dengan perlahan.
  • Kurangkan suhu dan tambahkan 1½ cawan keju, keju krim, garam dan lada.
  • Kacau sehingga cair sepenuhnya. Alihkan daripada haba.
  • Tuangkannya ke dalam mangkuk besar dan kemudian, tambahkan sosej, telur, dan makaroni sehingga dicampur rata.
  • Semburkan tin muffin mini dengan minyak zaitun atau minyak kanola.
  • Campurkan Mac and Cheese ke dalam setiap acuan dan kemaskan menggunakan sudu supaya ia sebati dan melekat.
  • Tambahkan keju cheddar yang diparut.
  • Letakkan ke dalam ketuhar untuk 10 minit atau sehingga bahagian atas menjadi warna coklat keemasan.
  • Biarkan sejuk untuk 10 hingga 15 minit sebelum perlahan-lahan mengeluarkannya.
  • Hiaskan dengan parsli cincang atau kucai jika anda mahu.

4.Aiskrim Popsikel

Anda mesti pernah buat Popsikel Milo, Popsikel Sirap, semua jenis air berperisa anda mahu jadikan aiskrim. Haa, apa kata anda buat popsikel ini bersama anak-anak anda. Tetapi, gunakan buah-buahan sebagai perisa! Kan lebih sihat tu? Anak-anak anda mesti teruja mahu mengisi aiskrim yang dibuat ke dalam acuannya.

Dengan melakukan aktiviti ini bersama anak anda, ini dapat melatih anda dalam mengasah kemahiran matematik mereka melalui pengiraan. Anda boleh meminta mereka mengira berapa banyak lagi acuan yang belum diisi, acuan yang telah diisi, berapa banyak buah lagi yang mereka mahukan. Anda juga dapat mengajar anak-anak bahawa buah-buahan dapat memberikan pelbagai khasiat untuk badan khususnya untuk tumbesaran mereka. Pasti mereka gembira dan mahu selalu melakukannya.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan beri pelbagai jenis (segar atau beku)
  • 2 sudu madu (boleh ditambah atau dikurangkan mengikut selera)
  • 2 cawan yogurt Greek berperisa vanila

Langkah-langkah:

  • Kisar buah beri sehingga hancur seperti smoothie.
  • Tuangkan campuran beri ke dalam mangkuk besar dan tambahkan madu.
  • Tuangkan yogurt perlahan-lahan ke dalam campuran beri dan rasa sedikit untuk mengetahui tahap kemanisan. Tambahkan madu jika perlu.
  • Tuangkan campuran ke dalam acuan popsikel dan bekukan selama 6-8 jam atau untuk satu malam.

   Selamat mencuba!

Ditulis Oleh:
Siti Khairun Nisa’