Rahsia Disebalik Turutan Kelahiran:
Ketahui Bagaimana Ia Mempengaruhi Personaliti Anak Anda!
Birth order atau turutan kelahiran adalah salah satu teori yang sering dijadikan bahan kajian oleh ahli-ahli psikologi. Kenapa ya?
Ramai berpendapat bahawa turutan kelahiran mempunyai impak yang besar dalam pembentukan personaliti dan tingkah laku kanak-kanak sehingga mereka dewasa.
Mari kita lihat ciri-ciri umum yang dikaitkan dengan turutan kelahiran dan bagaimana ibu bapa boleh lebih memahami dan mengenali setiap anak-anak anda.
Anak Sulung
Kebanyakan anak sulung adalah seorang yang bertanggungjawab. Mereka sering mengambil peranan kepimpinan dalam keluarga kerana mereka berasa bertanggungjawab terhadap adik-beradik mereka.
Mereka selalunya mempunyai jangkaan yang lebih tinggi untuk diri mereka sendiri dan secara amnya mempunyai dorongan yang lebih kuat untuk berjaya supaya dapat menjadi contoh yang baik buat adik-adik mereka.
Selain itu, anak sulung lebih cenderung untuk menjadi seorang yang perfectionist dan kadangkala membuatkan mereka agak kritikal terhadap diri sendiri dan juga orang lain. Hal ini berlaku kerana kebiasaannya anak sulung ‘dipaksa’ untuk menjadi matang dan berdikari sejak dari kecil lagi terutamanya jika mempunyai adik dalam jarak usia yang rapat (kurang dari 2 tahun).
Anak sulung selalu dikaitkan dengan sifat garang atau tegas. Mereka biasanya dianggap sebagai ibu bapa kedua kerana sering mengambil alih tugas menjaga adik-beradik yang lain. Ini juga menyebabkan kebanyakan anak sulung menjadi lebih matang daripada usia mereka.
Menjadi anak sulung adalah lebih mencabar sekiranya mereka ialah seorang anak perempuan. Ibu bapa sering lebih tegas terhadap anak sulung perempuan. Anak sulung perempuan juga perlu menguasai lebih banyak kemahiran seperti memasak, mengemas dan membesarkan adik beradik yang lain.
Anak Kedua/Tengah
Anak tengah dilihat sebagai seorang individu yang lebih friendly, mempunyai kemahiran sosial yang tinggi dan biasanya mempunyai lebih ramai kawan.
Selain itu, anak tengah juga berkemampuan untuk menyelesaikan masalah dengan lebih baik dan berupaya menjadi orang tengah dalam mengekalkan keharmonian di dalam keluarga.
Anak tengah lebih mudah menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan dan mereka kurang kekok bila berhadapan dengan situasi baru dalam kehidupan mereka.
Kebanyakan anak tengah lebih bersifat competitive. Mereka akan cuba untuk membezakan diri mereka daripada adik-beradik yang lain. Mereka mempunyai keinginan yang kuat untuk menonjolkan diri terutamanya dengan anak sulung.
Anak Bongsu
Haa, anak bongsu ni perangainya macam-macam sikit. Mereka merupakan individu yang lebih carefree dan mencabar, lebih berani dan sering mengambil risiko dan membuat keputusan yang mungkin dielakkan oleh adik-beradik mereka yang lain. Jadi, tak hairan lah kenapa anak bongsu selalunya anak yang paling memeningkan kepala ibu bapa.
Mereka amat sukakan perhatian dan akan berusaha untuk mendapatkan perhatian semua orang terutamanya ibu bapa mereka. Disebabkan oleh sifat ini, anak bongsu seringkali digelar anak yang lebih nakal kerana kebiasaanya mereka akan cuba melakukan pelbagai perkara bagi menarik perhatian ibu bapa.
Anak bongsu juga sering dilabel sebagai seorang yang manja. Hal ini mungkin disebabkan kerana ahli keluarga sering memberi perhatian yang lebih kepada mereka. Kehidupan mereka juga lebih baik jika dibandingkan dengan adik-beradik yang lain disebabkan oleh beberapa faktor antaranya:
- Keadaan ekonomi ibu bapa biasanya adalah lebih baik berbanding ketika waktu anak sulung.
- Ibu bapa lebih berpegetahuan mengenai cara menguruskan anak dengan lebih baik berbanding anak-anak yang lain.
Tapi, jadi anak bongsu ni takdelah seronok sentiasa. Anak bongsu selalu mengalah juga. Contohnya, anak bongsu selalunya dipaksa guna barang-barang yang diturunkan dari abang kakak mereka seperti pakaian, kasut dan alat permainan.
Pendekatan Terbaik Dalam Mendidik Setiap Anak-Anak Anda Berdasarkan Turutan Kelahiran
Pasti kebanyakan ibu bapa diluar sana mempunyai cara didikan yang berbeza bagi setiap anak. Walaupun anda rasa mungkin cara anda itu efektif, namun kadang kala ibu bapa terlupa perkara-perkara kecil yang sekiranya cuba diterapkan dalam cara parenting anda, mampu menjadikan anak-anak anda lebih berpotensi tinggi.
Jadi, sebagai ibu bapa, macam mana kita boleh lebih memahami personaliti setiap anak-anak kita berdasarkan turutan kelahiran mereka dan membantu mereka menjadi anak-anak yang lebih berpotensi?
Anak Sulung
Pendekatan didikan terhadap anak sulung perlu diubah. Memanglah seronok kalau anak sulung anda sangat berdikari, pandai menguruskan diri sendiri, bijak dan matang, tapi ianya perlu diseimbangkan dengan perkara lain. Anak sulung juga perlu diberi perhatian sama seperti anak-anak yang lain. Contohnya:
- Beri peluang yang sama buat anak sulung anda untuk menikmati kehidupan kanak-kanak mereka dengan pelbagai hobi dan aktiviti yang tidak melibatkan akademik kerana mereka juga mahu berseronok.
- Jangan terlalu mengharapkan kesempurnaan daripada mereka. Beri ruang untuk mereka belajar dan membuat kesilapan kerana kesilapan adalah perkara biasa dalam hidup.
- Berikan galakan dan pujian terhadap setiap usaha anak sulung anda. Ucapkan terima kasih setiap kali mereka membantu sebarang kerja rumah atau apabila mereka menjaga adik-adik dengan baik.
- Ingatlah bahawa anak sulung anda masih seorang kanak-kanak pada akhirnya, dan tidak sepatutnya menjadi tanggungjawab mereka untuk menjaga anak-anak anda yang lain iaitu adik-beradik mereka yang lebih muda.
Anak Tengah
Pernah dengar tentang middle child syndrome? Anak tengah sering rasa terperangkap atau tersisih daripada adik-beradik yang lain. Mereka juga akan cuba untuk membezakan diri mereka. Ini kadangkala menyebabkan ibu bapa salah faham mengenai anak tengah dan merasakan bahawa mereka terlalu berbeza terutamanya daripada anak sulung yang sering dilihat lebih behave. Jadi, apa kaedah yang ibu bapa boleh cuba terapkan dalam mendidik anak tengah?
- Sokong mereka dalam aktiviti yang menarik mereka sukai, walaupun ianya mungkin amat berbeza daripada minat adik-beradik yang lain. Raikan perbezaan mereka.
Anak tengah seringkali bersifat competitive. Jadi, ibu bapa perlu lebih peka jika mereka menunjukkan tanda-tanda competitive yang kurang sihat kerana ini mungkin akan menyumbang kepada siblings rivalry atau permusuhan adik-beradik yang akan memberi kesan negatif kepada emosi dan kesihatan mental anak-anak anda.
Anak Bongsu
Betul ke kebanyakan ibu bapa paling lembut terhadap anak bongsu? Anak bongsu biasanya dibesarkan dengan lebih kasih sayang dan perhatian kerana ibu bapa telah melalui proses pembelajaran sebagai ibu bapa sejak dari anak sulung. Jadi, anak bongsu dilihat lebih bertuah kerana ibu bapa mereka lebih berpengalaman dan berpegetahuan mengenai cara didikan yang terbaik.
Jadi, apakah cara yang digalakkan dalam mendidik anak bongsu?
- Anak bongsu cenderung untuk menjadi manja disebabkan oleh layanan ibu bapa itu sendiri. Jadi, penting untuk ibu bapa untuk menetapkan had supaya mereka tidak melampaui batas.
- Anak bongsu juga perlu diberikan tanggungjawab terutama sekali dalam pengagihan kerja rumah. Jangan asyik suruh anak sulung jer buat semua.
- Kebanyakan anak bongsu mempunyai kebergantungan yang lebih terhadap ibu bapa. Maka, ibu bapa perlu memberi galakan untuk anak bongsu anda supaya mencuba perkara baharu sendiri supaya dapat menggalakkan sifat berdikari dalam diri mereka.
Macam mana pula kalau anak tunggal?
Anak tunggal selalu dipandang istimewa oleh ramai orang. Mungkin betul mungkin tidak. Kebanyakan anak tunggal mempunyai sifat seperti anak sulung. Pergaulan dan aktiviti sosial mereka lebih dikelilingi oleh orang dewasa, maka anak tunggal biasanya lebih matang daripada usia sebenar. Mereka juga pandai bermain dan menghiburkan diri sendiri.
Tetapi, anak tunggal sering bergelut dengan perasaan terlalu ingin berjaya kerana mereka menjadi satu-satunya harapan ibu bapa. Jadi terdapat tekanan yang lebih tinggi buat anak tunggal untuk menjadi pelajar cemerlang dan berjaya dalam hidup yang mungkin boleh menyumbang kepada tekanan perasaan dan kemurungan sekiranya ibu bapa tidak mengawal expectations mereka.
Pendekatan didikan terhadap anak tunggal tidak jauh beza berbanding dengan sekiranya anda mempunyai anak yang lain.
- Ibu bapa perlu memberi ruang dan peluang untuk anak tunggal anda untuk berinteraksi, bergaul dan bermain dengan kanak-kanak sebaya mereka. Ini penting untuk menggalakkan dan meningkatkan tahap komunikasi dan keyakinan diri anak anda.
- Ketahuilah bahawa anak anda tidak perlu menjadi sempurna. Biarkan mereka belajar melalui kesilapan.
- Dedahkan anak anda dengan pelbagai aktiviti atau hobi tetapi elakkan daripada memberi tekanan kepada mereka untuk menjadi hebat dalam melakukannya.
Ingat, setiap anak adalah berbeza. Sebagai ibu bapa, wujudkan persekitaran di mana anak-anak anda berasa dihormati, difahami dan disayangi. Cuba untuk menerima perbezaan personaliti setiap anak-anak anda, hargai mereka dan lihatlah bagaimana mereka mampu membesar menjadi insan yang berjaya.