Langkah Melindungi Bayi Anda dari SIDS
Anda mungkin sering terlihat atau terdengar kes kematian mengejut melibatkan bayi yang berlaku secara tiba-tiba dan tertanya-tanya apakah penyebabnya. Inilah masanya anda sebagai ibu bapa untuk ambil tahu mengenai sindrom ini. Sindrom kematian bayi mengejut atau SIDS (Sudden Infant Death Syndrome) ini sering terjadi kepada bayi yang berusia 0-6 bulan. Kajian turut menunjukkan bahawa 95% kes SIDS adalah melibatkan bayi berumur 6 bulan ke bawah dan 60% daripadanya berlaku ketika bayi berusia antara 2-4 bulan. Walaubagaimanapun, pakar perubatan masih tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kematian atau terjadinya sindrom ini.
Ada juga yang mengatakan bahawa SIDS terjadi berpunca daripada keadaan tempat tidur bayi, posisi tidur, malah ada yang turut mengaitkannya dengan jangkitan bakteria. Ini kerana bakteria jenis Staphylococcus dan Enterobakteria yang berada di bahagian tekak dan hidung boleh menyebabkan berlakunya SIDS. Sindrom ini sememangnya boleh dielakkan dengan mengambil langkah yang sepatutnya. Jadi, sebagai ibu bapa, anda perlu berhati-hati dan ubah cara penjagaan bayi dengan lebih selamat untuk mengurangkan risiko SIDS dengan ikuti langkah-langkah ini!
PERSEKITARAN
Pastikan persekitaran bilik tidur bayi sentiasa dalam keadaan bersih dan terhindar daripada kotoran, habuk dan bakteria yang berbahaya. Pencahayaan dan peredaran udara juga perlulah berada dalam keadaan yang sesuai dengan bayi. Ibu bapa juga perlu pastikan bahawa bayi tidak terdedah dengan asap terutamanya asap rokok kerana ia boleh merisikokan bayi anda untuk terdedah dengan SIDS.
POSISI TIDUR
Elakkan bayi anda tidur dalam keadaan meniarap dan pastikan mereka tidur dalam keadaan terlentang. Bayi yang tidur secara meniarap bukan sahaja berisiko mengalami SIDS malahan lebih mudah tercekik apabila muntah. Ini kerana, posisi ini boleh menyebabkan bayi sukar untuk bernafas dan boleh mengakibatkan kematian.
BOTOL SUSU DI MULUT
Jangan biarkan bayi anda tidur dalam keadaan botol susu di dalam mulut. Ini kerana, ia amat berbahaya sekiranya mereka tersedak dan boleh mengancam nyawa mereka. Anda boleh cuba pelbagai cara lain untuk menidurkan bayi anda. Pastikan juga untuk sendawakan bayi anda sebelum mereka tidur untuk memastikan mereka tidak termuntah susu ketika tidur.
JANGAN TIDUR BERSAMA
Ramai ibu bapa yang memilih untuk tidur bersama bayi mereka kerana risaukan keadaan mereka jika dibiar tidur berseorangan. Langkah ini sangat berisiko pada bayi kerana ia boleh mengakibatkan bayi terhimpit terutamanya jika tilam yang digunakan lembut. Sebaiknya, anda tidur berasingan dalam bilik yang sama dengan meletakkan bayi anda ke dalam katil bayi (crib). Di samping selamat, ia juga mudah untuk anda awasi.
BERI RUANG
Ibu bapa perlu elak menggunakan terlalu banyak bantal ketika bayi sedang tidur bagi menghindari risiko bayi anda untuk lemas tanpa disedari. Gunakan bantal seminimum mungkin (atau tanpa bantal langsung) supaya bayi anda tidur dalam keadaan selesa.
Ambil langkah selamat ini sebagai perlindungan kepada nyawa si kecil anda. Stay safe!