Kurang Komunikasi dengan Pasangan? Bincangkan 7 Perkara Ini Bersama!
“Asyik main phone je, awak tak nak layan saya ke?”
Alamak…Bila dah keluar ayat macam ni, anda mesti kaku, tak tahu nak buat apa kan? Nak letak phone, boring pula. Nak sembang, tak tahu nak sembang apa pula. Macam-macam lah yang bermain dalam fikiran. Jangan macam tu. Dalam perkahwinan ni, perlu ada komunikasi dengan pasangan.
Menurut Ahli Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Pensyarah, Dr. Airil Haimi Mohd Adnan, komunikasi adalah dasar dan kunci kejayaan dalam setiap perhubungan itu. Tanpa komunikasi, pasangan akan mudah terlibat dengan salah faham dan bermasam muka. Tanpa komunikasi juga, hubungan suami isteri juga semakin lama akan suram dan hambar.
Oleh itu, jangan biarkan hubungan suami isteri anda suram dan hambar! Berkomunikasilah dengan baik untuk menyuburkan hubungan kasih sayang, keakraban sesama suami isteri. Kalau buntu, tak tahu apa topik yang boleh dibincangkan dengan pasangan, jom lihat topik-topik atau perkara yang boleh dibincangkan bersama pasangan anda.
- Aktiviti Harian
Hidup berpasangan atau berumahtangga ni satu perkongsian. Komunikasi dalam perkahwinan ni lebih bermakna apabila kita ada teman untuk kita kongsikan apa saja, termasuklah apa yang kita lalui dalam rutin kehidupan. Selepas pulang dari kerja, waktu makan atau sebelum tidur, kongsikan apa yang anda lalui pada hari tersebut seperti apa yang anda makan, bagaimana rutin di tempat kerja bersama kawan-kawan dan sebagainya. Dengan adanya perbualan sebegini, pasangan anda akan rasa lebih dekat dengan anda walaupun pada waktu tersebut mereka tak bersama anda.
- Matlamat bersama Pasangan
Tahun baru pun dah nak tiba. Mesti anda dan pasangan anda terfikir apa mission yang boleh anda berdua laksanakan untuk capai kejayaan tu kan? Haa, ini lah masanya untuk bincangkan perkara ini! Mungkin anda atau pasangan anda ada perancangan untuk melancong, membeli rumah atau kereta. Boleh lah mula rancang untuk menabung, uruskan kewangan dan sebagainya. Lebih awal rancang, kan lebih mudah?
- Rancangan Televisyen yang anda tonton
Kadang-kadang, mesti rasa geram kan kalau pasangan kita sibuk dengan handphone dan tak pedulikan kita? Apa kata, tarik perhatian mereka dengan ajak mereka untuk tonton bersama rancangan televisyen atau filem yang anda suka. Cari rancangan yang menarik minat anda dan pasangan anda. Melalui rancangan tersebut, keakraban dan hubungan suami isteri pun tak suram dengan adanya gelak tawa dan perbincangan mengenai rancangan yang ditonton.
- Impian Anda
Angan-angan pun boleh jadi kenyataan! Apa kata bincangkan apa saja angan-angan atau impian anda bersama pasangan. Mungkin anda boleh kongsikan impian anda sewaktu kecil, impian anda yang tak dapat dicapai dan impian yang masih belum dicapai. Mana tahu, impian yang masih belum dicapai tu akan tercapai suatu hari nanti dengan dorongan dan sokongan pasangan anda.
- Perasaan Anda
Kita selalu terlepas pandang tentang perasaan dan emosi pasangan kita, Jadi, sudah tentulah, bercakap tentang perasaan anda adalah perkara penting dalam berkomunikasi dengan pasangan. Oleh itu, jangan pendam perasaan atau emosi anda seorang diri. Kongsikan segala perasaan anda yang membuatkan anda gembira, sedih, marah dengan pasangan anda. Pasangan kita adalah sahabat baik kita juga. Dengan sokongan dan pujukan mereka, segala perasaan marah dan sedih boleh terubat. Malah, setiap kali anda ada khabar gembira mesti anda tak sabar nak kongsikan dengan pasangan anda.
- Masa Silam Anda
Bila dengar perkataan masa silam, mesti rasa seram kan? Masa silam ni bukanlah benda yang buruk saja. Masa silam ni melibatkan kisah waktu anda kecil, di bangku sekolah, pada zaman universiti dan sebagainya. Pasangan anda mesti tak tahu banyak perkara yang berlaku pada zaman muda anda dulu. Jadi, dengan berkongsi kisah-kisah ini, pasangan anda bukan saja mengenali anda yang sekarang malah mereka turut kenal anda pada masa silam anda.
- Keluarga Anda
Berkahwin dengan pasangan, bermakna seluruh keluarga kita pun berkahwin dengannya. Tak kira lah bagaimana hubungan anda dengan keluarga anda, topik mengenai keluarga sentiasa boleh dibincangkan bersama pasangan. Mungkin anda boleh kongsikan bagaimana susah payah ibu bapa anda besarkan anda ketika kecil, yang mana pasangan anda mungkin tak tahu tentang itu. Boleh juga kongsikan keakraban anda bersama adik-beradik, kisah lucu dan sebagainya bersama pasangan anda.
Jadi lepas ni, tak timbul lah isu kurang komunikasi dengan pasangan kalau anda selalu buka pelbagai topik seperti di atas dengan pasangan anda kan? 😉
Ditulis Oleh:
Siti Khairun Nisa’