Skip to main content

Empat Generasi Ibu Bapa, Empat Cara Berbeza?

Adakah cara kita dibesarkan oleh ibu bapa berbeza mengikut generasi? Sudah tentu ada perbezaannya. Setiap daripada kita melalui generasi yang berbeza dan didikan dalam persekitaran sosial, ekonomi dan budaya yang berbeza juga. Semua ini memainkan peranan penting seiring dengan cara kita dibesarkan oleh keluarga masing-masing. 

Namun kalau kita memahami dan kenalpasti perbezaan setiap generasi ini, kita akan menghargai keunikan masing-masing dan kesannya kepada generasi akan datang. Jom kita lihat apakah perbezaaan Baby Boomer, Generasi X, Millennial dan Generasi Z dan apa yang membezakan kita sebagai ibu-bapa.

Baby Boomer (Lahir 1946-1964)

Generasi baby boomer lahir dan membesar sebaik sahaja perang dunia tamat, dan dunia secara perlahannya melalui pemulihan ekonomi dan transformasi terutamanya di negara kita dan rantau Asia. Masyarakat kita pun mula beralih kepada hidup yang lebih industrial. Sebagai kanak-kanak, mereka dibesarkan dengan sangat tegas dan mengikut hirarki, disiplin yang amat ketat dan penekanan terhadap pendidikan untuk masa depan yang baik.

Sebagai ibu-bapa pula, tak terperanjat lah kan kalau mereka sangat pentingkan kejayaan akademik, tapi mengikut perspektif yang tradisional. Mereka kurang cakna dengan norma masyarakat tetapi mereka akan memastikan anak-anak  mengikut norma dan budaya masyarakat untuk kestabilan hidup. Walaupun mereka ni ibu bapa yang tegas, akan tetapi mereka lah yang menyediakan kita asas untuk hidup yang lebih baik dengan mementingkan kerja keras dan hormat pada pihak atasan dan orang yang lebih berusia. 

Generasi X (Lahir 1965-1980)

Manakala, generasi X membesar ketika dunia sedang melalui perkembangan ekonomi yang pesat dan modenisasi di rantau Asia. Pembangunan urbanisasi bermaksud perubahan dari hidup di dalam keluarga besar ke arah keluarga lebih kecil. Semasa kecil, Gen X dibesarkan oleh Baby Boomer dengan didikan yang tegas, sangat mementingkan anak-anak menghormati orang tua, disiplin, dan fokus kepada pencapaian akademik. Kalau result “exam” teruk, memang kena lah! Walaupun cara didikan ni membentuk budaya dan etika kerja yang baik, tapi sebagai kanak-kanak, Gen X tidak mendapat sokongan emosi dan terlalu patuh pada norma sosial. 

Sebagai ibu-bapa pula Gen X mempunyai stail yang sangat lain dari ibu-bapa mereka. Gen X terkenal dengan “helicopter parenting”. ‘Helicopter Parenting” adalah gaya pengasuhan anak yang terlalu menumpukan perhatian terhadap anak mereka. Contohnya, mereka akan memantau perkembangan dan keadaan anak mereka lebih daripada biasa terutamanya tentang kejayaan atau kegagalan anak mereka sehingga mereka akan melibatkan diri dalam aktiviti anak mereka. Tidak dapat dinafikan, ibu bapa Gen X mahu memberikan sokongan untuk kejayaan anak-anak dan tak mahu terlepas daripada melibatkan diri dalam hidup anak-anak. Akan tetapi, ibu-bapa Gen X ini sangat terbuka dan mereka akan menggalakkan anak-anak untuk meneroka minat masing-masing walaupun dalam keadaan protective

Millennial (Lahir 1981-1996)

Anak-anak millennial pula lahir ketika era teknologi dan globalisasi. Generasi ini adalah generasi yang pertama dapat merasai penggunaan Internet, dapat mengenali apa itu media sosial dan telefon pintar. Mereka ni adalah gabungan yang ideal antara budaya tradisional dan pengaruh moden. Ibu-bapa millennial dan Gen X pada ketika ini sedang mengadaptasi dengan perubahan masyarakat dan pengaruh budaya global dan idea baru terutamanya dalam kalangan masyarakat Malaysia dan Asia. 

Millennial sebagai ibu bapa lebih berfikiran terbuka dan tech-savvy berbanding generasi sebelumnya. Mereka lebih sukakan peneguhan positif atau sistem ganjaran untuk perkara baik dan tidak setegas generasi sebelumnya. Mereka juga lebih mengamalkan komunikasi yang terbuka dan kecerdasan emosi. Sebagai anak-anak yang membesar dengan teknologi, mereka menggunakan teknologi untuk mengasuh keluarga dan Google untuk mendapatkan maklumat dari internet seperti tips, cadangan dan sokongan. Mereka juga tak rasa malu untuk berkongsi pengalaman sebagai ibu-bapa di media sosial. Walaupun ibu-bapa milenial masih cuba sedaya upaya untuk menggabungkan tradisi dan kehidupan moden, mereka masih menghormati budaya turun-temurun, tapi terbuka untuk mencipta tradisi baru. Generasi ini juga cuba untuk mencapai work-life balance untuk meluangkan masa bersama anak-anak.

Generasi Z (Lahir 1997-2013)

Generasi Z lahir je memang dah dikelilingi teknologi, Jadi antara semua mereka lah yang paling arif dalam teknologi, media sosial, dan sentiasa mendapat akses internet dan akses kepada maklumat di hujung jari sejak lahir! Generasi Z membesar dengan ibu bapa yang lebih santai dan berfikiran terbuka. Tapi, tekanan yang mereka lalui datang daripada media sosial yang sentiasa menunjukkan gambaran kehidupan sempurna, seperti reality Vs expectation

Jangan terperanjat pula yang generasi Z juga dah mula menjadi ibu-bapa. Ibu-bapa muda ini adalah generasi yang lebih sukakan stail gentle parenting yang sering diperkatakan di media sosial. Sebagaimana mereka pentingkan kesihatan mental, itu juga lah yang mereka pentingkan untuk anak-anak. Mereka juga galakkan anak-anak untuk mengekspresikan diri sendiri dengan bebas. Disebabkan generasi ini tak berapa minat dengan norma tradisional, mereka juga gemar mencuba kaedah pengasuhan dan pendidikan yang baru, pembelajaran berdasarkan pengalaman dan sebagainya untuk mencipta daya kreativiti anak-anak. 

Jadi Generasi Mana yang Paling Bagus?

Satu perkara yang kita kena ingat ialah ini bukan satu pertandingan siapa paling bagus, sebab setiap generasi melalui pengalaman masing-masing dan mempunyai perspektif unik disebabkan perbezaan ini. Daripada kita fikir siapa lagi bagus, lebih baik kita pelajari perbezaan kita dan cara untuk mengambil nilai-nilai positif yang kita boleh gunakan sebagai kaedah untuk membesarkan anak-anak kita untuk pastikan kita mampu menyokong keperluan berbeza anak kita. Jangan lupa yang anak kita juga sedang membesar dalam persekitaran yang sangat berbeza dari kesemua generasi ini. 

Jadi kita ambil yang jernih, dan hasilkan kaedah membesarkan anak-anak kita sendiri yang unik untuk pastikan anak kita boleh membesar dengan sihat dan berjaya dalam dunia yang sentiasa berubah ini. Setiap langkah kita ambil, akan membentuk masa hadapan yang lebih baik untuk anak-anak kita.