Bosan lah Asyik Mengadap Phone je. Jom Membaca Pulak!
Cara memupuk keluarga yang minat membaca.
Zaman sekarang ni memang lain betul dari zaman kita membesar, sebab perkembangan teknologi lebih laju daripada budaya dan nilai hidup kita. Zaman anak-anak kita ni didominasi oleh media sosial dan hiburan dalam bentuk digital.
Bukan nak cakap salah, sebab kita pun kena menyesuaikan diri kita dengan peredaran zaman. Banyak je kebaikan penggunaan gajet untuk pendidikan anak yang ada manfaat sendiri. Dan kadang-kadang, bila anak-anak kita tak duduk diam, cara yang mudah ialah untuk bagi je phone atau iPad dan pandai-pandai lah mereka layan diri.
Tapi, kita tak boleh nafikan manfaat minat membaca untuk kanak-kanak dan keluarga kita. Berikut adalah antara kelebihan membaca yang kita perlu tahu:
Meningkatkan Perkembangan Kognitif
Membaca membantu mengembangkan kebolehan kita berfikir secara kritikal, meningkatkan daya ingatan, memupuk kebolehan menyelesaikan masalah dan banyak lagi. Dan membaca ni bukan membantu kita memahami ayat dan perkataan sahaja, tapi membantu keupayaan menganalisa dan memproses maklumat kompleks.
Merangsang Imaginasi dan Kreativiti
Bila anak kita membaca, mereka akan membawa diri mereka ke dunia lain, menggunakan sepenuhnya daya imaginasi. Nak-nak lagi jika buku yang ada pelbagai elemen fantasi dan pelbagai watak.
Meningkatkan Empati dan Kecerdasan Emosi
Membaca dari sudut pandangan watak lain dan pengalaman mereka membolehkan anak-anak kita untuk melihat dunia dari perspektif berbeza. Bak kata Mat Saleh ‘stepping into someone else’s shoes’ menggalakkan kita untuk lebih memahami pelbagai jenis karakter yang berbeza daripada kita..
Memperbaiki Tumpuan dan Kesabaran
Pada zaman media sosial ni, daya tumpuan manusia memang dah berbeza. Kita cuma lihat informasi sekerat-sekerat, video yang kurang dari satu minit. Blog yang pendek (eh?). Disamping melakukan semua itu, jika kita ambil sedikit masa untuk membaca buku dalam sehari, kita boleh menggalakkan diri dan anak-anak untuk menumpukan perhatian untuk jangkamasa yang lama dan meningkatkan kesabaran, iaitu dua kualiti yang cukup penting untuk kecemerlangan akademik anak-anak.
Jadi? Macam Mana Cara Memupuk Minat Membaca Tu?
Ada beberapa cara paling mudah untuk kita mula untuk menggalakkan aktiviti membaca untuk keluarga kita. Dan kita kena ingat, untuk membawa perubahan ni, bukan anak kita je yang kena membaca. KIta sekali kena sama-sama bersemangat untuk bersama-sama membaca.
Rasa Semangat Sikit nak Membaca Bila ada Tempat Membaca yang BEST
Bila kita membaca, kita akan menyelami dunia lain. Jadi lagi menarik kalau kita berada dalam keadaan paling selesa. Jadi kita sediakan satu sudut khas untuk membaca yang mempunyai rak buku, tempat duduk yang selesa dengan bantal, dan pencahayaan yang sesuai. Kalau nak lagi kreatif, gunakan kain untuk bina kubu atau khemah yang boleh anak-anak kita duduk. Ajak anak kita untuk hias sudut ni bersama lagi seronok.
Baca Segala Benda
Bila kita cakap baca semua benda ni, memang kami maksudkan SEMUA benda dari papan tanda, menu dekat kedai makan, manual mainan, pembalut makanan; apa-apa yang boleh dibaca, kita suruh anak kita baca. Dan bila mereka berjaya, puji usaha mereka. Jangan berat nak bagi pujian tau!
Korang Baca Apa Tadi?
Kalau baca sorang-sorang tak syok jugak kan. Jadi bila anak kita baca sesuatu, kita bincangkan apa yang korang baca tu? Cerita tentang apa? Ada watak yang diminati ke? Dan apa pendapat mereka tentang cerita tersebut. Alah kan masa kita sekolah kan belajar KOMSAS dan kena bincangkan macam ni. Tapi jangan lah macam sekolah sangat, bincang secara kasual je.
Kenali Minat Anak-Anak
Masa kecil ni, masa yang penting untuk kita kenali anak kita minat apa. Dan tanggungjawab kita adalah untuk pastikan kita sediakan apa yang anak kita perlukan untuk pupuk minat tersebut dan membawa kepada kejayaan diri mereka. Tak kisah lah anak kita minat fiksyen ke, fakta ke, haiwan ke, superhero ke kita cuba sediakan bahan bacaan mengikut minat mereka.
Sediakan Macam-Macam Jenis Bahan Bacaan
Katakan lah anak kita sukakan sains fiksyen. Ada macam-macam jenis bahan bacaan yang ada. Ada buku, buku bergambar, komik, ensiklopedia, zaman sekarang audio book pun banyak. Kalau ada variasi macam ni, baru lah tak bosan kan.
Mak Bapak Tak Membaca Sekali ke?
Ni yang paling penting sekali. Sebab anak-anak akan lagi semangat kalau kita semua jadikan membaca ni aktiviti keluarga. Anak-anak kan mencerminkan keperibadian kita. Jadi kita pun sama-sama lah turut serta. Jangan lupa, kebaikan membaca yang kita cakap awal-awal tadi bukan untuk kanak-kanak je ya. Semua tu untuk kita juga.
Jom Membaca dengan Kiddocare
Kalau anda tak larat nak teman anak-anak membaca, pengasuh/babysitter atau panggilan manja kami Kiddocarer boleh menemani anak anda untuk membaca dan melakukan aktiviti menyeronokkkan sambil membaca seperti bercerita dan macam-macam lagi. Jadi pastikan anda maklumkan Kiddocarer kami tentang apa yang sedang anda cuba pupukkan di rumah masing-masing!
Jadi apa lagi? Jom kita mula membaca hari ni!