Baby Dah Mula Merayap? Rumah Dah Baby Proof ke Belum?
Jom belajar cara untuk pastikan ruang lebih selamat.
Seronok kan bila anak kecil kita dah mula merangkak dan meneroka rumah? Seronok tu memang seronok, tapi bila dah jadi adventurous ni, mula lah semua nak dicapainya, semua nak masuk mulut. Jadi bila masuk fasa ni, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk pastikan ruang untuk anak itu selamat. Ya lah, adventurous tu memang bagus untuk tumbesaran, tapi anak-anak kecil ni sangat lah clumsy dan tidak tahu menilai bahaya lagi. Kita takkan dapat jangka apa benda kecil kita terlepas pandang yang boleh menyebabkan kemalangan dan kecederaan yang serius.
Tanpa baby proofing, kita berhadapan dengan risiko anak terjatuh, terkena renjatan elektrik, keracunan, dan macam-macam lagi yang tak dapat nak duga. Tapi jangan risau! Jom kita pergi dari bilik ke bilik bersama untuk pastikan kita boleh menarik nafas lega sikit.
Kenapa Baby Proofing Penting?
Kan orang kata malang tidak berbau. Jadi apa yang kita kena buat ialah membayangkan atau menjangkakan apa bahaya yang mungkin boleh berlaku kepada anak kecil kita dan menyediakan persekitaran yang selamat untuk mereka meneroka dunia baru mereka ni. Tanpa baby proofing, benda yang kita orang dewasa ni rasa selamat pun mungkin boleh jadi bahaya. Perabot tinggi yang boleh tumbang, soket elektrik boleh sebabkan renjatan, bahan pencuci pun boleh jadi racun jika tertelan. Jadi, jom kita mulakan aktiviti kita!
Tips Sebelum Kita Pergi Bilik ke Bilik
Kalau taknak terlepas pandang masa aktiviti kita ni, pastikan kita ada checklist baby proofing. Kenapa kita pergi bilik ke bilik? Supaya kita boleh fokus ke satu tempat pada satu masa. Tak lah kita serabut sangat. Satu benda yang paling common di setiap bilik adalah perabot yang tinggi. Pastikan kita tambatkan perabot tinggi supaya tak jatuh terutamanya rak buku atau almari. Pastikan kita tutup lubang-lubang pada soket elektrik. Jom kita pergi lagi mendalam di setiap bilik.
Bilik Tidur
Bilik tidur adalah tempat yang anak kita akan habiskan paling banyak masa. Jadi lagi lah kita kena fokus, tak kira lah bilik tidur kita sendiri atau bilik berasingan.
Katil Bayi atau Baby Cot: Pastikan katil bayi mengikuti standard keselamatan terkini. Contohnya jeriji katil perlu menegak, jarak antara palang tidak boleh melebihi 6.5cm supaya badan anak kita tidak akan tersepit dan sebagainya.
Pengurusan Wayar: Selain daripada sakit mata memandang, wayar bersepah sangat bahaya dan boleh menyebabkan anak kecil terjerut leher. Pastikan semua wayar dan plag tidak boleh dicapai. Kalau kita ada tirai yang bertali, pastikan tali tidak boleh dicapai dan elakkan tali gulung yang boleh menggantung leher.
Lokasi Katil: Sebagai orang dewasa, kita mungkin suka katil berdekatan tingkap untuk pemandangan dan natural lighting kan? Tapi ini lah BIG NO NO untuk kanak-kanak. Selain daripada risiko jatuh, bayi yang baru belajar berdiri mungkin akan menarik langsir atau tirai sebelum terjatuh atau tersangkut.
Ruang Tamu
Ruang tamu juga adalah kawasan utama di mana anak kita akan menghabiskan banyak masa bermain dan meneroka. Jom kita tengok apa yang ada di sini.
Penyangkut Wayar: Ruang tamu memang penuh dengan wayar sebab tempat kita banyak berehat dan beraktiviti. Ada TV lah, playstation lah, router internet, lampu dan macam-macam lagi. Pastikan kita kemaskan wayar-wayar semua dengan penyangkut wayar, dan pastikan semuanya tak dapat dicapai oleh anak-anak kita.
Barang Mudah Pecah: Ruang tamu juga ada banyak barang hiasan, pasu, lampu dan banyak lagi. Pastikan kita pindahkan semua ke rak yang lebih tinggi dan tertutup.
Pokok-pokok: Sebelum ni kita plant parents kan kononnya? Haa sekarang kita human parents pulak, dan keselamatan anak kita ni lagi utama. Pokok indoor ada banyak yang beracun. Selidik sedikit dan mungkin sudah masa untuk ucapkan selamat tinggal kepada pokok beracun atau pindahkan ke tempat tinggi sebelum anak kita kunyah macam makan ulam.
Bucu Perabot Tajam: Yang ni mesti kita dah biasa dengar kan? Tapi sekali terhantuk dekat bucu meja ke, kerusi ke, memang benjol macam buah epal lah dahi anak kita. Nak hantar ke taska esok pun segan. Penutup bucu meja boleh dibeli dengan mudah zaman sekarang di kedai dan online.
Keselamatan TV: Bayangkan kita bayi yang ingin tahu, nampak skrin yang cantik dengan gambar-gambar terang bergerak umpama sebuah portal. Mesti rasa nak masuk dan pegang kan, lepas tu TV pun jatuh pecah. Lagi risau, TV jatuh atas anak. Jadi pastikan TV tinggi dan tak boleh dicapai.
Bilik Mandi
Kalau kita fikirkan, bilik mandi bukan sahaja bahaya untuk bayi tapi juga orang dewasa dan warga emas. Kanak-kanak memang pantang kalau boleh main air. Bilik mandi memang tempat kegemaran untuk anak kita teroka. Jadi kita boleh jadikan peluang ini untuk buat bilik mandi kita selamat untuk semua lapisan umur.
Kunci Tandas: Pasang kunci pada pintu luar tandas untuk mengelakkan yang ingin tahu masuk. Selain daripada itu, kunci penutup toilet bowl pun ada dijual juga jika kita inginkan keselamatan extra.
Ubat-Ubatan: Budaya kita sebenarnya jarang simpan ubat di bilik mandi. Tapi tak kira lah ubat kita di bilik mandi, bilik tidur atau dapur, pastikan kita simpan ubat dalam bekas yang tidak boleh dibuka kanak-kanak dan letakkan di tempat yang tersembunyi sikit.
Bahan Kimia: Simpan bahan pencuci dan bahan kimia lain dalam kabinet yang berkunci supaya anak-anak tidak boleh buka dan menjadi saintis dan bereksperimen, atau lebih teruk lagi membancuh sebagai minuman!
Tikar Anti-Gelincir: Bentangkan tikar anti-gelincir dalam bilik mandi untuk mengelakkan sesiapa sahaja daripada tergelincir dalam bilik mandi tak kira lah orang tua atau bayi.
Spout Protector: Pili air pun menyebabkan risiko terhantuk untuk anak-anak kita. Spout Protector digunakan untuk menutup pili air logam yang tajam dengan object lembut. Zaman sekarang macam-macam rekabentuk yang comel pun ada.
Dapur
Bila fikir dapur memang boleh rasa anxious kan? Sebab dapur adalah ruang yang biasanya hanya untuk orang dewasa, dengan api nya, peralatan tajamnya. Ghisau! Tapi takpe kita tengok apa yang kita boleh lakukan untuk menyediakan dapur yang mesra kanak-kanak.
Kunci Kabinet: Tak tahu lah kenapa budak-budak ni suka betul buka tutup pintu kabinet. Mudah terhibur betul! Jadi kita pastikan semua kabinet dan laci dapur dikunci dengan selamat. Baby lock ada banyak dijual, tapi anda boleh juga menjadi kreatif dengan menggunakan getah pada tombol dan sebagainya untuk jimat.
Alas Meja: Pertimbangkan untuk tidak menggunakan alas meja untuk mengelakkan bayi dari cuba menjadi ahli silap mata dan menariknya alas meja sekali dengan segala pinggan mangkuk di atasnya. Boleh pertimbangkan lapik getah yang hanya tutup permukaan meja.
Bahan Kimia: Dapur juga mempunyai bahan kimia yang berbeza dari bilik mandi. Simpan bahan kimia di tempat yang tinggi, walaupun ia dalam kabinet yang berkunci.
Pemadam Api: Pastikan pemadam api yang sangat berat anda itu berada sama ada di tempat tinggi atau dipasang dengan selamat pada dinding.
Magnet Peti Sejuk: Sekali pandang fridge magnet nampak macam mainan kan? Ada pelbagai bentuk, warna, ada haiwan, ada pula bentuk makanan. Lagi lah bayi teringin nak masuk dalam mulut. Jadi kita letakkan magnet peti sejuk pada bahagian atas peti sejuk untuk mengelakkan risiko tercekik.
Halaman Rumah
Akhir sekali jangan lupa halaman rumah kita atau balkoni untuk bangunan bertingkat tinggi. Walaupun selalunya kita keluar menemani anak-anak kita, tapi kadang-kadang kita terleka sikit je mereka dah menghilang keluar rumah.
Tumbuhan Beracun: Periksa halaman anda untuk pastikan tiada tumbuhan beracun. Kadang-kadang kanak-kanak ni kreatif, bila capai satu tahap akan suka main masak-masak juga. Dan bayi pula tertarik dengan daun dan bunga yang berwarna menarik.
Racun Rumpai, Pokok dan Baja Beracun: Berhati-hati dengan penggunaan bahan kimia ini kerana ia sangat berbahaya jika tertelan. Lebih baik jika boleh dielakkan terus.
Jeriji dan Pagar: Bagi balkoni rumah yang tinggi, pertimbangkan pemasangan jeriji. Tapi pastikan anda mengikut spesifikasi keselamatan bomba untuk keselamatan anda jika berlaku kebakaran. Untuk rumah bertanah pula pastikan berpagar dan berkunci.
Kolam dan Air: Kanak-kanak kebanyakannya tidak tahu berenang dan berhadapan dengan risiko lemas. Kolam renang, kolam ikan, kolam dengan air pancut dan sebagainya harus dipagar, ditutup jika boleh.
Jangan lupa, baby proofing adalah proses yang berterusan. Bila anak kita membesar dan bergerak lebih banyak, berjalan, berlari, banyak masalah baru bakal muncul dan kita juga akan belajar banyak benda baru. Periksa rumah anda secara berkala dan buat perubahan mengikut kesesuaian bila diperlukan. Harap dengan tips ini kami boleh bantu sedikit sebanyak untuk anda menyediakan rumah yang selamat untuk anak kita meneroka dan membesar dengan sihat.
Selamat baby proofing dan enjoy semua detik-detik berharga bersama anak-anak tersayang!