Skip to main content

Anak Tidak Mahu Menyambut Sambutan Kemerdekaan?
Jom Kita Lihat Sebab dan Cara-Cara Untuk Kita Ubah Perspektif Mereka!

Kita semua rakyat Malaysia sudah bersiap sedia nak meraikan Hari Kemerdekaan kita pada 31 Ogos ini. Tetapi bercakap berkenaan dengan 31 Ogos, mak ayah ingat lagi tak sambutan di Dataran Merdeka pada tahun lepas? Kerap kali sambutan tersebut akan dipaparkan di televisyen rumah mak ayah pada waktu pagi. Mak ayah ingat lagi tak suasananya? SANGAT SANGAT MERIAH sehinggakan tiada ruang untuk udara. Suasana tersebut, biarpun sempit dan sesak, merupakan suasana yang amat gemilang buat negara kita. Dua tahun terperap di rumah kerana Covid melanda, tahun lepas merupakan pertama kali kita bebas untuk menyambut sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka dan di tempat-tempat yang lain dan ini menunjukkan bahawa semangat patriotik di kalangan kita semua masih tinggi dan jitu. 

Bertemakan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, Hari Kemerdekaan Yang Ke-66 ini sekali lagi pasti akan merancakkan suasana di Malaysia. Dengan adanya sambutan-sambutan sebegini, mak ayah boleh memupuk anak-anak dalam melahirkan seseorang yang berwawasan dan memahami erti kemerdekaan. Mak ayah boleh menggalakkan mereka untuk berkongsi visi mereka tentang kemerdekaan. Ini akan melahirkan pelbagai persona, perwatakan dan impian daripada generasi muda kini, lantas mewarnai landskap kolektif masyarakat majmuk Malaysia. 

Tengok sahaja generasi muda zaman sekarang, kita sudah tahu mereka mempunyai keunikan yang tersendiri. Setiap daripada mereka ada ciri-ciri yang berbeza daripada kanak-kanak lain. Berbanding dengan generasi dahulu, generasi sekarang lebih pelbagai dan niche mereka sangat kecil. Akan tetapi, biarpun generasi kini hebat dalam menunjukkan kepelbagaian, kita sudah semestinya inginkan yang terbaik buat anak kita sendiri. Bulan kemerdekaan ini, mereka boleh belajar makna kemerdekaan bukan sahaja dalam konteks negara, tetapi lebih daripada itu. 

Jom kita baca bagaimana kita dan anak-anak boleh memberikan yang terbaik buat diri mereka.

Anak-Anak Tidak Mengenali Negara Malaysia?

Mak ayah ingat tak pada zaman 80-an atau 90-an, apabila muncul sahaja Bulan Kemerdekaan, memang pelbagai aktiviti yang kita akan lakukan sempena dengan peristiwa tersebut. Bukan sahaja 31 Ogos yang meriah, tetapi sepanjang bulan Ogos memang meriah dengan terpacaknya bendera Malaysia, laungan kemerdekaan, anjuran aktiviti-aktiviti tradisional dan kunjungan ke muzium akan berlipat-lipat kali gandanya lebih daripada sediakala. Sekarang, walaupun tahun lepas kita dapat menyaksikan ratusan ribu Malaysia yang turun ke padang untuk menyambut Hari Kemerdekaan, semangatnya tidak lagi seperti dahulu.

Anak-anak sekarang kemungkinan tidak mengenali negara Malaysia seperti mana kita mengenalinya. Kita lebih menghargai kerana kita sudah terdedah dengan pelbagai budaya, kaum dan bangsa yang terdapat di negara ini. Tetapi sekarang, pelbagai budaya dan bangsa lain sudah menembusi sempadan negara kita melalui proses imigrasi dan aset digital. Perkara ini sama sekali tidak salah cumanya akan ada garisan kabur yang sukar untuk generasi sekarang membezakan budaya-budaya yang berasal dari negara kita atau negara luar. Budaya hedonisme kemungkinan sudah merasuki sebahagian daripada generasi muda kini melalui platform digital seperti filem, sosial media, trends dan OTT platform. 

Apa yang mak ayah boleh lakukan adalah membawa mereka menyaksikan pertunjukan di Dataran Putrajaya ataupun dimana-mana yang bercirikan kemerdekaan Malaysia. Bawa mereka pergi ke muzium seperti Muzium Negara ataupun tempat-tempat bersejarah seperti Tugu Negara dan menceritakan kepada mereka tentang figura, alat, bahan, corak atau aktiviti yang dijumpai di tempat tersebut. Sambil-sambil sedang berjalan, mak ayah boleh bertanyakan mereka soalan yang boleh membangkitkan semangat patriotik mereka; ‘Apa yang Shuhada nak capai untuk Malaysia?’, ‘Apa yang Syamil nak berbakti buat negara ini’?’, ‘Apa yang Afieq nak lihat dalam 30 tahun akan datang di negara kita?’.

Soalan-soalan sebegini sedikit sebanyak boleh mendekatkan hati mereka untuk lebih mengenali Malaysia dan diri mereka juga. Pertanyaan ini akan membuka minda mereka untuk menerima Malaysia sebagai negara tercinta mereka dan membuatkan mereka memahami pentingnya jasa dan bakti seseorang dalam merealisasikan visi kemerdekaan negara. 

Kebebasan Dalam Bersuara Sebagai Seorang Anak

Pasti ada segelintir mak ayah yang takut dengan frasa ‘kebebasan bersuara’ ini, betul tak? Kebebasan bersuara ataupun kebebasan berpendapat ini ibaratkan seperti tiada peraturan mahupun halangan untuk seseorang itu berkomunikasi. Tetapi, jangan risau, kebebasan bersuara, walaupun mempunyai perkataan akar ‘bebas’, masih mempunyai hadnya terutama apabila konteks ini melibatkan anak-anak mak ayah. Sudah tentu ada hadnya, mereka masih tidak boleh mengeluarkan kata-kata kesat atau berfikiran terlalu liberal yang boleh merosakkan diri mereka. 

Apabila mak ayah bagi mereka meluahkan idea, mereka belajar untuk berfikir secara kritis dan menganalisis situasi daripada pelbagai perspektif. Ini akan membentuk individu yang berwawasan luas dan mampu mengendalikan isu-isu kompleks. 

Kebebasan bersuara ini juga merupakan gerbang kepada taman kreativiti. Mereka akan lebih suka untuk meneroka imaginasi mereka dan mencipta penyelesaian yang inovatif. Apabila hak bersuara ini sudah diterapkan dari kecil, anak-anak akan bebas berkongsi idea mereka tanpa rasa takut atau malu akan apa yang orang fikir tentang mereka pada hari-hari yang mendatang. 

Selain itu juga, kebebasan bersuara ini boleh membuka peluang untuk mereka menyuarakan pendapat mereka dan memupuk empati dan pemahaman mereka yang menyumbang kepada masyarakat yang lebih berkasih sayang dan bertoleransi.  

Tetapi bagaimana mak ayah ingin mengembangkan kebebasan bersuara dalam kalangan mereka? Mak ayah boleh mencipta suasana sokongan dimana mereka selamat dalam menyuarakan pendapat mereka. Mak ayah juga boleh tekankan nilai pendapat dan pengalaman yang pelbagai. Kenalkan mereka kepada budaya dan pandangan yang berbeza untuk meluaskan pemahaman mereka tentang dunia. Mak ayah boleh libatkan mereka dalam perbincangan tentang pelbagai topik dan galakkan anak-anak untuk berkongsi pemikiran mereka. 

Mak ayah mesti terfikir, apa kena mengena topik ini dengan kebebasan bersuara? Sekiranya perkara ini dididik sejak dari kecil, mereka lebih cenderung untuk menjadi seorang yang lebih berdikari kerana mereka ada pendirian yang kuat, tahu apa yang mereka mahukan dan boleh membuat penilaian dan keputusan yang sendiri berbanding dengan anak-anak yang lain. Inilah yang dikatakan sebagai mencapai independence untuk diri sendiri selaras dengan makna kemerdekaan.

Independence Bukan Sahaja Untuk Negara, Malah Untuk Diri Sendiri

Apabila kita sebut sahaja tentang independence, kita seringkali akan kaitkannya dengan kemerdekaan negara kita. Tetapi, tidak selalu kita akan kaitkan dengan diri kita sendiri. Kita menyambut Hari Kemerdekaan kerana kita telah bebas daripada penaklukan daripada penjajah asing. Hari Kemerdekaan merupakan hari dimana kita menyambut negara kita secara kolektif tetapi adakah anda tahu bahawa semasa menyambut hari yang penuh dengan gilang-gemilang tersebut, kita sebenarnya sedang menyambut kemerdekaan untuk diri sendiri juga? Hari Kemerdekaan bukan bermakna hari untuk negara sahaja, tetapi hari untuk diri sendiri juga.

Anak-anak perlu tahu yang makna independence itu lebih daripada menyambut kemerdekaan negara. Mereka patut tahu kemerdekaan yang dikecapi adalah untuk kita dan juga generasi-generasi yang mendatang. Sekiranya kita tidak merasai kemerdekaan sebagai seorang individu, ianya bagaikan sia-sia sahaja generasi dahulu berkorban untuk mencari kebebasan daripada ancaman luar. Ianya perlu bermula daripada diri kita sebelum kita menyambut kemerdekaan negara, barulah sambutan itu bermakna buat kita semua. Anak-anak perlu memahami pentingnya mencapai kegembiraan dan ketenteraman. Biarpun pelbagai rintangan yang dihadapi sama seperti manusia biasa, anak-anak perlu tahu bahawa ketenangan dan kebahagiaan perlu wujud selaras dengan kemerdekaan yang dicapai. 

Mak ayah boleh melakukan aktiviti keluarga dimana anak-anak boleh menyuarakan perasaan dan pendapat mereka tentang kemerdekaan. Ini boleh melalui seni, penulisan ataupun sketsa kecil. Mak ayah boleh tahu apa yang mereka fikir tentang kemerdekaan melalui aktiviti ini, betapa pentingnya kemerdekaan ini bagi mereka, sama ada kecil ataupun besar. Tanya mereka sekiranya mereka merasakan kemerdekaan ini hanya memberikan impak kecil. Kadangkala mereka tidak nampak the big picture dan tidak faham sambutan atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Mak ayah boleh menceritakan kepada mereka sebab-sebab kenapa kita perlu menyambut Merdeka kepada mereka.

Seterusnya, mak ayah juga boleh mendidik mereka tentang nilai-nilai murni kerana kemerdekaan diri datang apabila seseorang itu dapat menerapkan nilai positif seperti tanggungjawab, disiplin dan saling menolong antara satu dengan yang lain. Apabila selalu berbuat kebaikan, dari situlah datangnya kegembiraan, dan kegembiraan itulah merupakan kunci kemerdekaan buat diri. Bukan sahaja nilai-nilai murni, malah mak ayah juga boleh mendorong anak-anak untuk mengejar cita-cita dan impian mereka supaya anak-anak boleh mendapat kemerdekaan diri dalam jangka masa yang panjang. 

Merasai kemerdekaan di dalam diri amatlah penting untuk anak-anak serta seluruh keluarga dan masyarakat memahami erti kemerdekaan yang sebenar. Ini kerana kemerdekaan sebagai seorang individu amat berkait rapat dengan kemerdekaan negara. Perlunya untuk kita memerdekakan diri sebelum kita boleh betul-betul merasai kemeriahan, penghargaan dan sanjungan yang dilaungkan sewaktu bulan Ogos ini.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Yang Ke-66, mak ayah dan keluarga! Jangan lupa saksikan sambutan tersebut di Dataran Putrajaya!

Ditulis oleh:
IAN FIRDAUS

References:

https://www.healthychildren.org/English/ages-stages/preschool/Pages/Growing-Independence-Tips-for-Parents-of-Young-Children.aspx

https://www.cambscommunityservices.nhs.uk/what-we-do/children-young-people-health-services-cambridgeshire/cambridgeshire-0-19-healthy-child-programme/childhood-development/encouraging-independence-in-teens

https://childmind.org/article/how-to-build-independence-in-preschoolers/