Apa nak buat kalau anak-anak takut nak pergi sekolah?
Jom bincang tips untuk buat anak-anak suka ke sekolah!
Pernah tak anak-anak anda berat sangat nak pergi ke sekolah? Jalan punya lah perlahan, atau macam-macam pulak alasan diberi untuk duduk rumah. Situasi ni sebenarnya memerlukan sedikit perhatian dari kita sebagai ibu-bapa. Ada banyak sebab anak-anak kita mungkin elak sekolah; mungkin rasa gelisah atau anxiety, kesukaran belajar dan paling membimbangkan, takut dibuli. Jom kita terokai apa yang kita boleh lakukan untuk bantu anak-anak kita.
Fahami Kerisauan Anak-Anak: Masalah anak kecil kita, mungkin bukan masalah kecil.
Ingat tak masa kita di zaman persekolahan? Sekolah rasa besar sangat dan rasa seram pun ada. Kita rasa gementar nak ikut peraturan sekolah, macam mana nak cari kawan dan macam-macam lagi. Semua ni boleh jadi overwhelming untuk kanak-kanak fikirkan. Semakin anak kita membesar, semakin mereka sedarkan persekitaran mereka dan kelemahan diri. Akibatnya? Overthinking yang menjurus kepada kegelisahan atau lebih bahaya, kemurungan..
Bayangkan ya, kena fikir peperiksaan, nak buat kawan baru, nak pilih ahli untuk kerja berkumpulan. Semua ni nampak mudah, tapi mereka masih kanak-kanak dan pengalaman ni boleh jadi sangat menakutkan. Jadi bila anak-anak tunjukkan tanda-tanda mengelak dari ke sekolah, kita dengar dan fahamkan ketakutan dan kegelisahan ni, dan berikan kata-kata semangat dan sokongan yang diperlukan. Terima rasa gelisah ini dan bantu mereka untuk atasinya bersama.
Siasat Puncanya: Apa yang sedang berlaku sebenarnya?
Kalau anak kita taknak pergi sekolah sekali je faham lagi. Kalau berhari-hari jadi mungkin masalah ni sebenarnya lagi besar dari yang kita jangka. So masa untuk kita jadi detektif dan siasat! Mungkin masalahnya adalah faktor akademik; mungkin ada subjek yang susah dan anak kita malu untuk bagi tahu. Kalau anak-anak kecil pula mungkin gelisah sebab kena berpisah dengan ibu bapa.
Kalau masalah lebih berat pula, mungkin anak kita sedang hadapi kes buli. Jadi benda pertama yang kita patut buat ialah wujudkan satu persekitaran yang selamat untuk anak kita berkongsi secara terbuka. Kalau kita tahu masalahnya, kita boleh bekerja sama dengan guru di sekolah tentang macam mana nak sokong dan bantu anak-anak kita atasi apapun cabaran yang dilalui di sekolah.
Berkomunikasi dengan hati terbuka: Berbual dengan anak kita!
Kita selalu dengar, Communication is Key. Ini memang penting untuk kita fahamkan apa yang anak kita sedang lalui di sekolah. Berbual dengan anak kita dan cikgu di sekolah sekerap mungkin untuk fahami apa yang anak kita lalui hari-hari di sekolah. Cikgu sebenarnya memainkan peranan penting sebab mereka jumpa anak-anak kita hampir setiap hari dan boleh berikan kita pandangan tentang kelakuan dan interaksi anak kita di sekolah.
Luangkan masa, mungkin pada waktu makan bersama, ajak anak berborak secara jujur tentang hari mereka di sekolah, dan mungkin mulakan dengan soalan seperti “Apa benda best jadi dekat sekolah tadi?” atau “Ada apa-apa tak yang rasa macam susah dekat sekolah?”. Soalan-soalan macam ni boleh galakkan anak-anak kita untuk berkongsi perasaan. Tapi ingat! Kita kena dengar dengan hati yang terbuka dan elak mengkritik.
Rumahku Syurgaku, tapi…: Mungkin Boleh Hadkan Nikmat tu.
Rumah memang lah lagi best dari sekolah kan. Ada katil, TV, video game, favourite snacks and phone – jadi normal lah untuk anak-anak lagi suka duduk rumah. Tapi mungkin kita boleh letakkan had kepada semua tu, dengan mengurangkan masa penggunaan gajet, main video game dan sebagainya supaya sekolah menjadi alternatif untuk rasa gembira juga untuk belajar, bersosial dan sebagainya. Mungkin, boleh cuba “reward system” untuk menggalakkan mereka. Nak masuk syurga, kena lah kumpul pahala.
Ketahui Bila Situasi Semakin Buruk: Bila Kita Patut Dapatkan Khidmat Professional
Seperti yang kita bincangkan tadi, normal untuk anak tidak mahu ke sekolah sekali-sekala. Tapi kalau nampak macam ada tanda-tanda kemurungan berpanjangan seperti mimpi ngeri atau panic attack pastikan kita ambil serius. Mungkin tiba masanya untuk kita dapatkan bantuan professional seperti doktor pakar kanak-kanak atau pakar psikiatri kanak-kanak.
Khidmat professional seperti ini boleh membantu anak-anak kita untuk belajar cara mengendali emosi dan adakan strategi untuk menghadapi masalah kegelisahan atau anxiety. Pakar kesihatan juga boleh menyediakan persekitaran selamat untuk anak-anak kita meluahkan perasaan dan kerisauan untuk bekerjasama menyelesaikan isu ini. Jangan rasa malu untuk dapatkan bantuan kerana yang menerima manfaatnya anak kita juga!
Rambut Sama Hitam, Hati Lain-Lain: Setiap Anak, Caranya Berbeza
Bukan semua cara penyelesaian sesuai untuk setiap orang. Sesetengah kanak-kanak hanya perlukan sedikit galakan, ada yang perlukan lebih masa dan sokongan. Kuncinya adalah kesabaran dan fahami keperluan setiap individu secara berasingan..
Sediakan persekitaran yang membuatkan anak kita rasa selamat dan difahami. Raikan setiap kejayaan tak kisah lah kecil mana sekalipun dan galakkan usaha mereka. Kadang-kadang, apa yang anak kita perlukan adalah kepercayaan kita kepada diri mereka.
Sedikit Pengalaman dari Penulis
Semasa kecil, masalah utama saya ialah membaca. Terutamanya apabila kena membaca di depan kelas. Akibatnya, memang takut lah saya nak pergi sekolah sebab malu dan tak yakin sebenarnya. Dan saya akan menangis dan seboleh-bolehnya taknak ke sekolah.Tapi ibu saya sangat bersabar untuk mendengar masalah saya, dan kami akan gunakan sedikit waktu petang untuk berlatih bersama dan kami baca pelbagai buku cerita menarik bersama dan tanpa sedar membaca menjadi aktiviti yang saya sangat minat dan masalah tanpa sedar, saya tak ada masalah lagi untuk pergi ke sekolah.
Tips Tambahan dari Rakan-Rakan Ibu Bapa Lain
Rutin Pagi:
Jadikan rutin pagi meriah untuk semua orang. Breakfast yang special, muzik yang fun untuk mulakan hari dengan positif. Berkesan untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Beri semangat sesama sendiri.
Kawan-Kawan Sekolah:
Masyarakat kita mungkin belum biasa dengan playdate, tapi cuba kenali ibu-bapa lain dari kalangan rakan sekelas anak-anak kita dan aturkan aktiviti bersosial antara anak-anak untuk bantu anak kita jalinkan persahabatan. Bukan orang dewasa je yang perlukan support system ya!
Sistem Ganjaran:
Haaa macam shopping juga ada sistem ganjaran, kita guna sistem ni untuk anak kita yang dapat kehadiran penuh ke sekolah. Tak perlu pun hadiah besar-besar, kanak-kanak dapat sticker pun dah seronok. Kalau lebih sikit bawa lah jalan-jalan ke.
Setiap ibu-bapa cabarannya lain-lain, jadi penyelesaiannya pun lain-lain juga. Tapi ini lah peluang kita untuk menjadi kreatif dalam menyelesaikan masalah. Ini lah gunanya Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif (KBKK) yang kita pelajari dulu kan!
Kuncinya adalah kebolehan kita memahami, berkomunikasi secara terbuka, dan memberi sokongan yang sebaiknya untuk anak kita mengatasi masalah mereka supaya mereka berjaya bukan sahaja secara akademik tapi juga secara emosi. Kita tak perlu lalui ni berseorangan, kita boleh dapatkan sokongan guru, kaunselor, pakar kesihatan dan komunitu keluarga juga.
Jadi jom sama-sama bangkit sebagai ibu-bapa dengan kuasa luar biasa, kita pastikan anak kita melangkah ke sekolah dengan penuh keyakinan!