Skip to main content

Apa Nak Buat Bila Anak Anda Tak Dapat Apa Yang Mereka Nak?

Setiap ibu bapa pernah berada di dalam situasi di mana anak anda sangat mahukan sesuatu, sama ada mainan, makanan atau lebih masa bermain iPad. Tetapi apabila jawapannya ialah “tidak”, ia biasanya datang dengan seribu emosi yang sering membuatkan kita kecewa.

Menguruskan emosi ini bukan sahaja tentang menenangkan anak anda, tetapi ia juga memberi peluang untuk mengajar mereka tentang kecerdasan emosi, kesabaran dan daya tahan pemikiran. Kanak-kanak akan menghadapi banyak halangan dalam hidup, dan mengajar mereka mekanisme untuk menerima kekecewaan dengan baik mampu meletakkan asas bagi mereka untuk menguruskan situasi yang lebih sukar pada masa hadapan.

Mari bincangkan bagaimana anda boleh memberi sokongan yang baik kepada anda ketika dalam situasi yang susah dan membantu anak anda supaya mereka lebih terbuka apabila mereka tidak dapat apa yang mereka mahukan.

Anak Saya Tantrum Bila Tak Dapat Apa Yang Dia Nak

Kanak-kanak, terutamanya yang lebih muda, masih berusaha mempelajari cara mengawal emosi mereka. Apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka mahukan, mereka biasanya akan respon dengan tantrum. Ini adalah sangat normal. Ketidakupayaan mereka untuk memahami sepenuhnya atau meluahkan emosi mereka sering mengakibatkan ledakan emosi. Menjadi tanggungjawab anda sebagai ibu bapa untuk membimbing anak anda memahami emosi mereka. Jadikan situasi tegang sebegini sebagai peluang untuk mengajar anak anda pelbagai mekanisme menangani emosi mereka dan bukannya melihatnya sebagai perkara yang buruk. Bantu mereka menyedari bahawa mereka boleh berasa sedih apabila keinginan mereka tidak dapat ditunaikan.

“Sayang, Dalam Hidup Ni Tak Semua Benda Awak Akan Dapat”

Salah satu kemahiran hidup yang paling penting ialah keupayaan untuk bangkit daripada kekecewaan. Pengalaman awal kehidupan ini membantu dalam perkembangan daya tahan kanak-kanak, sama ada mereka tidak berpuas hati kerana tidak mendapat mainan atau berasa kecewa kerana rakan tidak mengajak mereka bermain. Kanak-kanak yang mampu belajar mengatasi kekecewaan secara sihat akan menjadi lebih berdaya tahan terhadap cabaran hidup yang lebih besar, seperti kegagalan di sekolah atau semasa di alam pekerjaan.

Anda boleh membantu anak anda meluahkan perasaan mereka dengan mengatakan sesuatu seperti, “Ibu faham awak nak mainan itu, takpe kalau awak sedih bila tak dapat”. Apakah aktiviti lain yang boleh kita lakukan? Menyelesaikan dan mengalihkan fokus anak anda ke arah penyelesaian alternatif dapat memupuk pertumbuhan minda yang merupakan kemahiran hidup yang berharga bagi anak anda.

Delayed Gratification

Mengajar kesabaran boleh menjadi lebih mencabar terutamanya hari ini, di mana segala-galanya boleh diakses dengan satu klik.  Walau bagaimanapun, mengajar anak anda tentang delayed gratification adalah pelajaran yang sangat berguna. Apabila anak anda tidak mendapat apa yang mereka inginkan dengan segera, ia mengajar mereka untuk bersabar dan menunggu sesuatu yang lebih baik di masa depan dan membantu membina disiplin diri.

Macam mana nak buat?

Anda boleh cuba menetapkan matlamat kecil yang boleh dicapai yang memberi ganjaran kepada kesabaran anak anda. Jika anak anda mahukan mainan, anda tak perlu membelinya terus tapi anda boleh menetapkan sistem ganjaran.  Mungkin anak-anak anda boleh mendapatkan mainan idaman mereka dengan melakukan apa-apa kerja rumah atau berkelakuan baik dari semasa ke semasa. Dengan cara ini, mereka akan belajar kepentingan untuk berusaha bagi mendapatkan apa yang mereka inginkan dan meraih ganjaran atas usaha mereka.

Penyelesaian Yang Kreatif!

Apabila kanak-kanak tidak mendapat apa yang mereka mahu, ia adalah peluang yang sesuai untuk mengajar mereka cara menyelesaikan masalah secara kreatif. Anda boleh bertanya kepada anak-anak anda, “Apa yang boleh kita lakukan selain daripada ini?” atau “Macam mana kita boleh memperbaiki keadaan sekarang?” Selain membantu anak anda mempelajari kawalan emosi, anda boleh membantu mereka mengembangkan kebolehan berfikir kritis dengan menggalakkan mereka menghasilkan idea.

Sebagai contoh, anda boleh meminta anak anda mengesyorkan snek lain jika makanan yang mereka inginkan tidak ada di restoran yang anda kunjungi. Ini menunjukkan kepada anak-anak anda bahawa akan sentiasa ada pendekatan alternatif untuk masalah dalam kehidupan ini. Jika laluan ini ditutup, boleh ambil jalan lain. Dari masa ke masa, mereka boleh belajar bahawa kadangkala laluan yang diubah boleh membawa mereka ke tempat yang lebih baik.

Belajar Melalui Pemerhatian

Kebanyakan kanak-kanak belajar dengan memerhati ibu bapa mereka. Sebab itulah kita selalu dengar orang cakap yang pendidikan awal bermula dari rumah. Ini termasuk cara mengawal emosi mereka. Sebagai ibu bapa, adalah penting untuk bertenang apabila anak-anak anda tantrum bila keadaan tidak berjalan seperti yang mereka mahu. Katakan sesuatu seperti, “Takpe, Ayah faham awak kecewa,” untuk mengesahkan perasaan mereka. “Jom kita fikir sama-sama nak buat apa sekarang”.

Anda boleh mengajar anak-anak anda bahawa walaupun mempunyai seribu emosi itu adalah normal, tapi ia boleh dikawal secara positif dengan menunjukkan empati dan bersikap tenang. Apabila anak-anak anda semakin dewasa dan menghadapi kesukaran di dunia nyata, keupayaan ini akan memberi manfaat yang besar kepada mereka.

Kesimpulannya, menguruskan emosi kanak-kanak apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka inginkan adalah lebih daripada sekadar mengendalikan tantrum mereka—ia adalah mengenai keupayaan kita sebagai ibu bapa untuk meletakkan asas bagi kecerdasan emosi, daya tahan mental dan penyelesaian masalah dalam diri anak-anak. 

Dengan membantu mereka melalui masa-masa yang mencabar ini, anda dapat memberikan anak-anak asas yang mereka perlukan untuk mengatasi kesusahan dan halangan dalam kehidupan. Sebagai ibu bapa, ianya menjadi tanggungjawab anda untuk membimbing mereka supaya mereka boleh berkembang menjadi manusia yang matang dari segi emosi dan mempunyai keupayaan mental yang baik.