Skip to main content

Bagaimana Budaya Moden Mempengaruhi Personaliti dan Minda Anak-Anak Kita?

Tidak dinafikan, anak-anak kita kini hidup di dalam dunia dan persekitaran yang sangat berbeza berbanding dengan kita dulu. Dalam dunia digital dengan perkembangan teknologi yang pesat, membentuk dan memupuk minda dan personaliti kanak-kanak memang lebih rumit dan berbeza. Anak-anak kita kini membesar dalam persekitaran yang dipengaruhi oleh teknologi dan media sosial.

Kesemua faktor ini mempunyai kesan yang besar terhadap bagaimana anak-anak kita membentuk pandangan, pemikiran, dan tingkah laku mereka, terutamanya jika digandingkan dengan parenting style yang berbeza serta perubahan taraf sosial. Mari kita kupas mengenai isu ini.

Teknologi Dalam Kehidupan Seharian: Baik Ke Buruk? 

Faktor utama yang mempengaruhi bagaimana anak-anak kita berfikir dan bertindak pada masa kini ialah teknologi. Kanak-kanak terdedah kepada skrin seperti komputer, tablet dan telefon pintar sejak dari usia yang sangat muda, justeru mempengaruhi bagaimana mereka melihat dunia luar dan berinteraksi dengan orang lain. 

Ramai ibu bapa merasakan bahawa penting bagi anak-anak kita untuk mempelajari dan mengetahui tentang penggunaan gajet akan tetapi anda perlu ingat, ia juga mempunyai pelbagai kesan negatif terhadap perkembangan kognitif.

Menurut kajian pada tahun 2019 yang diterbitkan dalam JAMA Paediatrics, kanak-kanak yang menghabiskan lebih banyak masa di depan skrin gajet mungkin mempunyai kelewatan dalam penguasaan bahasa dan kemahiran sosial terutamanya semasa tempoh perkembangan awal kanak-kanak di mana ianya merupakan tempoh masa yang sangat penting. Rangsangan skrin secara berterusan juga boleh menyebabkan kadar jangka perhatian menjadi lebih pendek kerana mereka terbiasa dengan instant entertainment dan akses kepada kandungan yang terlalu pantas seperti di TikTok.

Tetapi tidak semua tentang teknologi itu membawa keburukan. Aplikasi dan permainan dengan kandungan pendidikan boleh meningkatkan pembelajaran dan merangsang kreativiti minda apabila digunakan dengan betul. Memantau masa skrin dan memastikan anak-anak berinteraksi dengan kandungan yang sesuai untuk umur mereka adalah penting untuk ibu bapa.

Pengaruh Media Sosial Dalam Membentuk Personaliti Kanak-Kanak

Remaja dan kanak-kanak kini menghabiskan sebahagian besar masa mereka di laman media sosial seperti YouTube, Instagram dan TikTok. Platform ini boleh menimbulkan isu seperti peer pressure dan self hate meskipun ia sepatutnya menjadi platform hiburan.

Sebagai contoh, seorang gadis berusia 13 tahun mungkin mengikuti pempengaruh Tiktok yang menyokong jenis badan atau cara hidup tertentu. Dia mungkin mengalami tekanan untuk memenuhi standard ini atau mula berasa risau tentang penampilannya jika gambar atau video nya yang dimuatnaik itu tidak mendapat likes yang banyak. Ini akhirnya boleh mengakibatkan masalah termasuk kemurungan, gangguan makan, dan rasa rendah diri.

Satu lagi komponen besar akibat penggunaan media sosial pada masa kini ialah fear of missing out (FOMO). Anak-anak anda berkemungkinan mengalami gangguan perasaan, prestasi akademik yang menurun dan tahap kesihatan mental yang lemah akibat rasa tertekan untuk sentiasa up-to-date dengan perkara yang dilakukan oleh rakan mereka.

Bagi kebanyakan kanak-kanak dan remaja, laman media sosial seperti Instagram dan TikTok berfungsi sebagai saluran komunikasi utama mereka. Walaupun platform ini dilihat sebagai salah satu cara untuk berhubung, namun sekiranya ibu bapa tidak memantau penggunaanya, maka ia boleh mengganggu pembangunan kemahiran sosial kritikal yang diperlukan untuk komunikasi secara bersemuka.

Pop culture daripada muzik, filem dan televisyen juga mempunyai kesan yang mendalam terhadap cara kanak-kanak melihat diri mereka sendiri dan dunia di sekeliling mereka. Watak dalam filem dan rancangan TV sering menjadi model yang mana mempengaruhi aspirasi dan tingkah laku kanak-kanak.

Sebagai contoh, seorang kanak-kanak perempuan yang menonton drama bersiri yang menampilkan watak utama wanita yang kuat dan bijak mungkin bercita-cita untuk menjadi seperti watak itu. Walau bagaimanapun, gambaran peranan jantina dan stereotaip dalam media juga boleh mengehadkan pandangan kanak-kanak tentang perkara yang boleh mereka capai, bergantung pada cara watak tersebut digambarkan.

Ibu bapa boleh membantu dengan menggalakkan anak-anak mereka berinteraksi dengan pelbagai jenis content yang mempamerkan watak yang positif dan mencabar stereotaip. Selain itu, ibu bapa digalakkan untuk bercerita mengenai content yang baik dengan anak-anak bagi membantu mereka mengembangkan kemahiran literasi media yang akan membolehkan mereka menilai secara kritis apa jua perkara yang mereka lihat dan dengar.

Kaedah Parenting

Terdapat perubahan yang amat ketara dalam teknik dan cara parenting zaman sekarang yang lebih menumpukan kepada keperluan emosi anak-anak. Perubahan ini mempengaruhi bagaimana kanak-kanak melihat dunia dan diri mereka sendiri. Kaedah parenting zaman sekarang lebih menumpukan kepada kepintaran emosi dan psikologi sebagai aspek utama dalam pembinaan karakter kanak-kanak. 

Sebagai contoh, authoritative parenting ialah pendekatan keibubapaan moden yang ramai ibu bapa gunakan pada masa sekarang. Ia adalah pendekatan seimbang di mana ibu bapa bersifat lebih penyayang dan supportive tetapi masih tegas dengan peraturan Mereka juga menggalakkan kebebasan dan pemikiran kritis dengan membenarkan anak-anak menyuarakan pandangan mereka, membenarkan mereka turut serta dalam membuat keputusan, dan menggalakkan komunikasi secara terbuka.

Ibu bapa yang berfikiran lebih terbuka atau dipanggil permissive parents lebih memberi ruang dan kebebasan dan sering cuba untuk tidak menetapkan terlalu banyak halangan bagi anak mereka. Cara parenting seperti ini boleh menghasilkan ikatan emosi yang kuat antara ibu bapa dan anak-anak Walau bagaimanapun, kanak-kanak mungkin mendapati sukar untuk mengawal diri dan menghormati peraturan akibat kekurangan disiplin.

Penyelidikan telah menunjukkan bahawa kanak-kanak dengan ibu bapa yang terlibat secara aktif dalam kehidupan mereka biasanya lebih baik dalam situasi sekolah dan sosial. Namun, ramai ibu bapa pada masa kini sukar meluangkan masa yang cukup dengan anak-anak kerana komitmen kerja dan jadual yang padat. Tetapi, ini mungkin menjejaskan pertumbuhan intelek dan emosi kanak-kanak.

Apa Yang Ibu Bapa Perlu Faham?

Anak-anak kita membesar dalam dunia yang jauh berbeza berbanding kita dan generasi sebelum kita. Tidak dinafikan bahawa budaya pemikiran zaman sekarang amat mempengaruhi sudut pandangan mereka tentang kehidupan dan pembentukan sahsiah mereka. Sebagai ibu bapa generasi kini, terdapat lebih banyak cabaran yang harus kita tempuhi dalam mendidik anak-anak kita. Meskipun ramai daripada kita memilih untuk bersifat lebih terbuka dalam mendidik anak-anak, ibu bapa masih perlu berhati-hati dan cakna mengenai  perkembangan sosial, tingkah laku dan tahap pemikiran anak-anak anda. Anda sebagai ibu bapa pasti inginkan yang terbaik buat anak-anak anda jadi pastikan anda memberikan sokongan terhadap mereka supaya mereka boleh berkembang menjadi manusia yang berjaya meskipun berhadapan dengan pelbagai pengaruh negatif di luar sana.